Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUCHING: Kurang kesedaran serta enggan membuat saringan kerana bimbang dijangkiti, menjadi antara penyumbang kepada peningkatan penghidap HIV dan AIDS di negara ini.
Di Sarawak, 88 kes direkodkan pada 2009, meningkat 290 kes pada 2019.
Buletin TV3 ke Kuching untuk menyantuni penerima-penerima bantuan Program Akses Kesihatan Sabah dan Sarawak, anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Kumpulan Sunway.
Kami dibawa mendekati keluarga yang dijangkiti HIV dek kesilapan si bapa yang pernah terbabit dengan gejala dadah pada usia muda sebelum berkahwin.
Walaupun isterinya hanya mengetahui status kesihatan suami selepas menimang cahaya mata pertama, pasangan ini terus nekad merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan 3 anak mereka yang kini berusia belasan tahun, juga telah dijangkiti sejak lahir.
“Bila bujang kerja tak menentu, bila dah kahwin, dah lain dah. Tak sama. Bila dah kahwin baru tahu macam mana. Masa bujang kita tidak tahu. Bila anak pertama, kita tahu apa sebab masuk hospital.” kata Zailan (bukan nama sebenar) yang merupakan penghidap HIV.
Keluarga ini terpaksa bergantung kepada ubat Antiretroviral (ART) yang perlu dimakan setiap hari seumur hidup.
Namun, anak-anak mereka masih tidak tahu mengapa mereka perlu mengambil ubat berkenaan.
“Kata orang sampai akhir hayat la, biar la bawak je. Biar mereka tidak tahu, bila mereka tahu nanti takut pula mereka risau sedih ke apa. Kita diam saja, biar masalah kita orang kata kita buat kita tanggung je la. Jangan susahkan dorang.” ujar Fauziah (bukan nama sebenar) kepada Buletin TV3.
Lain pula kisahnya bagi pemuda berusia 20 tahun ini yang dijangkiti HIV akibat aktiviti seksual berisiko pada 2019.
Dia mengakui pernah dinasihatkan pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan, namun enggan berbuat demikian sehingga menahan sakit akibat jangkitan HIV.
“Waktu malam itu saya tiba-tiba tumbang, terberak dalam seluar apa semua, memang tidak sedar diri. Saya dibawa ke hospital. Kemudian, saya terpaksa berhenti kerja sebab selalu kena sawan, sakit kepala.” kongsi Hakimi (bukan nama sebenar).
Tahun lalu, 248 kes baharu direkodkan di Sarawak.
Daerah Kuching mencatatkan kes tertinggi dengan hampir 90 peratus daripadanya adalah lelaki.
Justeru, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), usaha proaktif sedang dipergiatkan bagi memberi kesedaran dan pendidikan.
“Mungkin di kalangan yang berisiko, kebanyakan takut nak tahu ada penyakit itu, itu antara satu faktor.
“Mereka tak rasa mereka berisiko dan bila rasa macam tu mereka tetap terus melakukan aktiviti berisiko tambah lagi bila dengar mana-mana pihak dia akan abaikan.
“Mereka anggap saya masih muda tak mungkin berlaku pada saya, takut mungkin akan ada macam tu.” jelas Dr. Ruziana Miss, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen HIV/STI/Hepatitis C, JKNS kepada Buletin TV3.
Usaha menangani HIV dan AIDS di negara ini perlu memberi fokus kepada meningkatkan kesedaran, mempromosi ujian saringan dan memperkukuh sistem sokongan terutama bagi golongan yang berisiko tinggi.
Namun penekanan terhadap pendidikan dan pengurangan stigma perlu diutamakan bagi mencapai kejayaan jangka panjang.
Laporan Buletin TV3 esok akan memaparkan langkah yang digerakkan bagi membendung penularan HIV di wilayah berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.