Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Sistem kubur bertingkat sedang dipertimbangkan bagi mengatasi kekurangan Tanah Perkuburan Islam khususnya di bandar besar.
Di Kuala Lumpur, 8 daripada 23 tanah perkuburan terpaksa ditutup kerana mencapai kepadatan maksimum.
Statistik kematian umat islam pula makin menokok – lebih 100,000 orang meninggal dunia tahun lalu sekali gus menyukarkan pihak berkenaan menyediakan tapak kubur secukupnya.
Mengikut statistik Jabatan Perangkaan, 57 peratus daripada 175,000 kematian yang direkodkan tahun lalu membabitkan umat islam.

Ketuanya, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan statistik 2023 pula lima negeri merekodkan jumlah kematian melebihi 10,000 orang.
Selangor merekodkan kematian tertinggi iaitu 16,667 diikuti Johor 14,398, dan Kedah 13,008.
Turut tersenarai, Kelantan 11,182 dan Perak 10,082.
“Kadar kematian setahun kita pun dah menghampiri lebih kurang ratio lebih kurang 200,000 dan kita lihat banyak juga kalau di Lembah Klang di Selangor dan juga di Putrajaya disini boleh saya katakan kadar penggunaan kubur misalnya di sesuatu kawasan tu boleh mengisi lebih kurang 100 mungkin dah capai 60-70 peratus”, katanya kepada Buletin TV3.
Turut tidak terkecuali di ibu negara di mana tanah perkuburan dijangka mencapai tahap maksimum penggunaannya empat ke enam tahun lagi.
Terdapat 23 kawasan namun hanya 15 sahaja masih dibuka bagi tujuan pengebumian.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, projek perintis Tanah Perkuburan Islam bertingkat akan dibangunkan seperti yang dicapai dalam Konvensyen Resolusi Tanah Perkuburan pada 17 Ogos 2024.
“Daripada sudut ketersediaan tu saya rasa takde masalah sebab daripada sudut hukum dan fatwa perkara itu dibenarkan cuma nak mencari model yang terbaik tu bagaimana cara kita nak menguruskan kubur bertingkat ni itu je. Saya akan arahkan kepada pengarah JAWI untuk pastikan supaya idea kubur bertingkat ini dapat dilaksanakan secepat mungkin”, katanya.
Isu sama juga sudah kedengaran di Selangor yang mungkin menuntut keperluan kubur bertingkat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman baru-baru ini menerusi Facebooknya menyuarakan kebimbangan itu apabila semua TPI kecuali di Ukay Perdana hampir penuh.
Justeru cadangan projek perintis kubur bertingkat sedang diselaras dan diteliti oleh kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Menurut beliau projek perintis itu mungkin dilaksanakan di Ampang Jaya iaitu di TPI Taman Kosas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.