Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ibu bapa dinasihatkan pantau anak-anak di media sosial – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam Podcast Edisi Khas Buletin TV3 yang disiarkan di platform Facebook dan Youtube Buletin TV3.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dinasihatkan memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial anak-anak terutama yang dibawah umur bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, bahawa sikap alpa atau kurangnya pemantauan oleh ibu bapa dikhuatiri membuka ruang kepada ancaman siber yang semakin membimbangkan.

“Saya pernah jumpa kanak-kanak darjah satu, tanya siapa sini ada akaun Tiktok ? Saya dapati tiga per empat kanak-kanak tersebut angkat tangan dan kata ada.

“Kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial.

“Ibu bapa perlu peka terhadap syarat umur yang ditetapkan platform media sosial seperti TikTok dan memastikan anak-anak tidak melanggar peraturan tersebut,” kata Fahmi dalam Podcast Edisi Khas Buletin TV3 yang disiarkan di platform Facebook dan Youtube Buletin TV3.

Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi

Beliau turut mengingatkan bahawa perkongsian maklumat peribadi seperti lokasi rumah, gambar peribadi, atau aktiviti harian di media sosial boleh mendedahkan golongan tersebut kepada pelbagai risiko jenayah seperti pedofilia dan buli siber.

Fahmi dalam temubual itu turut mendedahkan terdapat kumpulan dalam talian di sebuah platform media sosial yang menyalahgunakan gambar kanak-kanak untuk tujuan tidak bermoral.

Oleh itu, katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini, akan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Akta Keselamatan Dalam Talian mengenakan beberapa tanggungjawab kepada platform media sosial, dia panggil ‘Duty of Care’.

“Jadi akan ada lapan sembilan kategori yang mana kita takrifkan sebagai kemudaratan dalam talian.

“Akta ini sama dengan beberapa akta yang ada di United Kingdom, Kanada dan banyak negara lain untuk memastikan pengendali platform faham dan tidak boleh lepas tangan kalau terdapat salah laku jenayah seperti pedofilia dan scammer di platform dia,” jelas Fahmi.

Ikuti Podcast Edisi Khas Buletin TV3 bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang disiarkan di saluran Facebook dan YouTube Buletin TV3 dikendalikan hos Halim Mohamed dan Mas Zharif Zhafri Aziz Desa.

Ia menyentuh rangkuman isu nasional 2024 membabitkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, jenayah dalam talian, Akta 588 dan Lesen Pengendali Media Sosial.


Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini