comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] HIV dalam kalangan pelajar IPT: Tiada pengetahuan asas, seks bebas seawal 13 tahun


Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Sebuah laporan diterbitkan Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati lebih 154,000 remaja, antara usia 13 hingga 17 tahun terlibat dengan aktiviti seksual.

Lebih mengejutkan, 33 peratus daripada jumlah itu melakukan amalan seksual sebelum usia 14 tahun, sekali gus menyerlahkan isu jangkitan HIV dalam kalangan remaja.

Rashdan (Bukan nama sebenar), penghidap HIV sejak berusia 18 tahun.

Pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Rashdan, 24, disahkan positif HIV pada usia 18 tahun selepas secara sukarela membuat saringan sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan sijil pelajaran malaysia, SPM.

Dia yang kini berusia 24 tahun mengakui sering bertukar pasangan serta tiada pengetahuan mengenai penyakit berjangkit kerana masih muda.

“Saya mula berjumpa dengan orang berumur 15 tahun melalui sosial media.

“Pada mulanya berkenalan dengan seseorang pastu lama-lama kenal dengan ramai orang.

“Kemudian daripada seorang melakukan seks dan kemudian ramai orang, ada yang guna kondom, ada yang tidak.” dedah Rashdan, Penghidap HIV kepada Buletin TV3.

Rashdan turut mendedahkan, dirinya sering melakukan seks tanpa perlindungan yang berisiko tinggi.

“Masa itu kita budak dan berkenalan dengan orang yang lagi berumur. Jadi saya rasa mereka tahu apa yang mereka buat, saya percaya mereka.

“Tetapi saya rasa mungkin ada kemungkinan untuk kena benda-benda itu cuma saya tidak tampil kedepan sebab bawah umur jadi saya ambil langkah selamat setelah habis SPM saya buat saringan.” ujar Rashdan.

Dia kini terpaksa mengambil ubat Anti-Retroviral (ART) setiap hari seumur hidupnya bagi mengawal virus daripada merebak.

Persoalannya, adakah apa yang dilalui Rashdan ini akibat daripada pendidikan seks di negara ini yang masih tidak dibincangkan secara terbuka?

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 : Tinjauan Kesihatan Remaja yang diterbitkan Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 yang diterbitkan tahun lalu harus membuka mata banyak pihak.

Lebih 154,646 remaja di antara usia 13 hingga 17 tahun terlibat dengan aktiviti seksual.

Manakala lebih 51,036 daripada jumlah murid sekolah menengah terbabit didapati melakukan aktiviti tersebut sebelum usia 14 tahun.

Lebih membimbangkan, 88 peratus mengaku tidak menggunakan sebarang bentuk perlindungan kesihatan seksual.

Dr Dinesh Mahalingam, Bekas Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia.

“Kita ada banyak kajian di negara yang menunjukkan kegiatan seksual sudah mula daripada umur 13 tahun ini adalah kajian yang telah dijalankan di Malaysia di seluruh negara. Itu adalah satu sebab.” ujar Dr Dinesh Mahalingam, Bekas Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC).

Selain itu, kecenderungan menonton pornografi, pengaruh rakan sebaya serta perasaan ingin tahu turut menjadi antara punca masalah ini.

Berdasarkan laporan yang diterima KKM, seramai 244 pelajar IPT (berusia 18 – 25 tahun) dijangkiti HIV pada tahun lalu.

Tahun 2022, seramai 221 pelajar; 2021 seramai 186 pelajar dan 2020 seramai 214 pelajar IPT yang dijangkiti HIV.

Apapun, melalui statistik ini boleh dikatakan kesedaran mengenai virus HIV semakin meningkat dalam kalangan pelajar IPT.

“Kita banyak menggalakkan remaja dan mereka yang berisiko tinggi untuk tampil ke depan untuk ujian saringan HIV.

“Jadi kita rasa mungkin lebih ramai yang tampil dan dengan itu kita boleh lihat peningkatan nombor dari tahun sebelum terhadap pengesanan HIV.” jelas Dr Dinesh kepada Buletin Utama.

Ikuti bahagian kedua esok menerusi laporan eksklusif di Buletin TV3 bagi mendapatkan cadangan penyelesaian isu berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini