Oleh: Izzatie Rizan
KUALA LUMPUR: Ibarat ‘lautan putih’ pekarangan Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil mula dibanjiri orang ramai bagi Himpunan Pembebasan Palestin sejak jam 5 petang tadi.
Tinjauan Buletin TV3 mendapati, peserta himpunan hadir berpakaian serba putih bagi mempamerkan solidariti serta menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.
Himpunan yang dijangka dihadiri 15,000 orang itu turut diwarnai dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera Palestin, selain perkarangan stadium bergema dengan laungan ‘Hidup Palestin’ dan ‘Bebaskan Palestin’.
Ibarat ‘lautan putih’ pekarangan Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil mula dibanjiri orang ramai bagi Himpunan Pembebasan Palestin sejak jam 5 petang tadi. pic.twitter.com/dQNn6gUSBR
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 4, 2024
Program malam ini akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan di Palestin, sebelum disusuli dengan beberapa siri ucapan mengenai konflik tidak berperikemanusiaan di Asia Barat yang akan disampaikan pemimpin-pemimpin politik.
Kemuncak perhimpunan adalah pidato yang disampai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Qunut Nazilah.
Sebelum ini Himpunan Solidariti Bersama Gaza pernah diadakan di Masjid Negara yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.