Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Ibadah berpuasa di bulan Ramadan mampu mendidik individu mengamalkan diet sihat yang boleh memaksimumkan tahap kesihatan.
Namun, sejauh mana keseimbangan dapat dicapai antara tuntutan agama dan mengamalkan gaya hidup sihat?
Amalan diet seperti ‘intermittent fasting’ dan diet rendah karbohidrat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Namun, Pakar Kecergasan, Hanif Loid berpendapat, tidak semua diet sesuai dengan keperluan individu yang berpuasa.

Begitu juga apabila diet berkenaan perlu diselarikan dengan senaman, seperti memulakan regimen kesihatan yang ekstrem.
“Setiap kali bila orang bertanya kepada saya, apa kata sebelum Ramadan ni saya mula bersenam? Saya jawab, boleh, tetapi di mana jadual kita? Terpaksa dikurangkan dari segi waktu tidur dan masa yang perlu diluangkan untuk beribadah.
“Kesukaran akan timbul apabila kita tidak biasa bersenam sebelum ini,” katanya kepada Buletin TV3.
Namun, Hanif menegaskan tidak salah menjadikan bulan Ramadan sebagai permulaan kepada amalan gaya hidup sihat.
Beliau menasihatkan agar individu mengutamakan sumber protein seperti ayam, ikan, telur, dan daging.
“Protein bagus untuk membantu kita mengekalkan jisim otot, jadi kita boleh kurangkan sel lemak badan dengan lebih mudah,” tambahnya.

Pandangan sama dilontarkan Sarjana Islam tempatan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, yang melihat berpuasa di bulan Ramadan juga mampu menguatkan fizikal dan mental individu.
“Orang yang kenyang, orang yang tidak beribadat, hubungan dengan Tuhan agak berkurang.
“Sebab, dia ada ‘the power of words’, bila kita berpuasa, kita bercakap benda yang baik dan kita ada niat yang baik seperti ‘Nawaitu Souma Ghadin’, ia akan membentuk minda yang sihat.
“Jika kita ada penyakit seperti kemurungan atau apa-apa penyakit, cuba banyakkan puasa. Insya-Allah, kita akan dapat ketenangan,” katanya.
Malah, jelas beliau dalam bidang perubatan, berpuasa diiktiraf sebagai terapi semulajadi yang dilihat mampu merawat pelbagai penyakit.
“Selain daripada menjaga agama, kita juga dituntut menjaga nyawa kita.
“Salah satu cabang menjaga nyawa adalah kesihatan kita, sebab kita tidak mampu melaksanakan tugas sebagai khalifah melainkan kita sihat.
“Orang yang sakit tidak boleh beribadat dengan sempurna, maka kita melihat kesihatan dan ibadat sebagai dua perkara yang mempunyai hubungan yang erat, seperti isi dan kuku,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.