Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan bukan sekadar menjadi lokasi perniagaan dan tempat tinggal, sebaliknya perlu menjadi bandar raya yang dipenuhi dengan nilai kemanusiaan.
Justeru kelestarian dan keharmonian Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan memerlukan pendekatan yang jitu untuk kekal mampan serta berdaya huni.
Wujud sejak lebih lima dekad lalu, tiga wilayah berkenaan mempunyai keunikan dan cabaran tersendiri dalam menyediakan persekitaran kondusif untuk lebih 2.2 juta penghuninya.
Seperti di ibu negara, kota metropolitan yang pesat membangun mempunyai cabaran dalam memastikan perancangan bandar benar-benar tersusun disamping mengekalkan keharmonian penduduknya.
Pelaksanaan Kuala Lumpur Strike Force sejak Ogos tahun lalu, dilihat pendekatan terbaik dalam menyatukan semua agensi kerajaan untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan.
“Kita akan melihat Kuala Lumpur ini membuat satu penguatkuasaan atau program yang berkala,
“Kita akan mengambil tindakan kepada mana-mana orang bukan hanya gerai-gerai, tetapi mereka yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang termaktub dibawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Bagi pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya yang berkeluasan 92 kilometer persegi ini pula pembangunan yang dirancang dengan begitu teliti telah meletakkannya sebagai antara lokasi popular di peta dunia.
Tidak terhenti disitu, usaha terus digerakkan untuk menjadikannya bandar pintar yang berwawasan tanpa meminggirkan keperluan rakyat seperti kemudahan pengangkutan awam dan parkir.
“Kita sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membantu kita untuk membina tempat letak kereta diatas jalan supaya ia boleh mengurangkan kesesakan,
“Ini inovasi baharu kerana kalau kita nak lihat tanah yang dibangunkan untuk tempat letak kereta dia akan melibatkan tanah yang perlu dibeli dan sebagainya,” ujar Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Manakala bagi Labuan yang dihuni lebih 100,000 penduduk ini mempunyai pelbagai potensi khususnya dalam sektor pelancongan.
Tidak mahu hanya dilihat sebagai pusat kewangan luar pantai dan industri minyak dan gas semata-mata, usaha turut diberikan dalam menarik lebih ramai pelancong supaya limpahan ekonomi dirasai penduduk.
“Penekanan kepada sektor pelancongan diberi keutamaan dalam jangka masa pendek supaya kita dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Labuan,
“Dalam masa sama kita cuba juga meletakkan pelancongan Labuan ini dipersada pelancong asing,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib.

Lima Teras Visi ‘C.H.A.S.E CITY’ Angkat Martabat Tiga Wilayah
Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, lima teras melalui visi ‘C.H.A.S.E City’ akan mengangkat Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ke peringkat seterusnya.
Ia merangkumi Bandar Bersih, Bandar Sihat, Bandar Maju, Bandar Selamat dan Bandar Mesra Alam.
“Kita tidak mahu melihat kepada bandaraya yang canggih daripada sudut teknologi sahaja, tanpa kita mengambil kira entiti-entiti yang dilihat kecil tetapi sebenarnya memberikan impak yang sangat besar,
“Unsur-unsur ini kita kena masukkan sekali dalam setiap perancangan kita letakkan visi ini supaya kita tidak tinggalkan semua aspek dalam sudut pembangunan yang seimbang,” katanya kepada Buletin TV3 secara eksklusif di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau turut mengakui cabaran pembangunan ketiga-tiga wilayah itu juga membabitkan isu legasi yang perlu ditangani dengan teliti, dan tidak mengenepikan kepentingan masyarakat.
Sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini, sebanyak 60 program dirangka pihaknya dengan tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.