Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Hari Terbuka Parlimen Malaysia bertemakan ‘Merakyatkan Parlimen, Warisan Negara’ dianjurkan secara besar-besaran pada tahun ini dimana majlis perasmian disempurnakan oleh Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Negara.
Majlis turut disaksikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato Johari Abdul.
Menerusi ucapan Dr. Rais, beliau menjelaskan objektif penganjuran Hari Terbuka Parlimen ini bertujuan membuka ruang kepada masyarakat luar untuk menerokai dan menghayati fungsi serta peranan Parlimen dalam proses penggubalan undang-undang Kerajaan Persekutuan.
Disamping itu, penganjuran ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat secara dekat keunikan senibina bangunan Parlimen yang juga merupakan antara Bangunan Warisan Kebangsaan.
Beliau turut mengulas, tema “Merakyatkan Parlimen, Warisan Negara” dipilih bertujuan untuk mendekatkan rakyat dengan badan legislatif terunggul negara, iaitu Parlimen Malaysia, selaras dengan usaha Transformasi Parlimen.
“Hari Terbuka Parlimen Malaysia menjadi platform untuk mendekatkan Kerajaan dan rakyat, selain daripada penyertaan daripada pihak bukan Kerajaan bagi memeriahkan sambutan”
“Ia turut memperlihat satu sisi yang jarang-jarang dilihat secara langsung iaitu elemen Diplomasi Parlimen dengan penyertaan pelbagai agensi Kerajaan, swasta dan pihak luar daripada Kedutaan Austria dan Palestin” ujarnya ketika ucapan perasmian di Dewan Bankuet Parlimen.
Hari Terbuka Parlimen 2023 ini turut dihadiri oleh Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Ahli-Ahli Parlimen, Duta dan Perwakilan Asing, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan serta wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Penganjuran Hari Terbuka Parlimen ini berlangsung selama 2 hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.