comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Hari Harimau Sedunia: Pertingkat kajian holistik dan usaha agresif lindungi Harimau Malaya


Oleh: Fahmi Tajuddin

SEPANG: Kerajaan digesa untuk mempertingkat kajian secara menyeluruh sebagai usaha untuk menangani isu pengurangan populasi Harimau Malaya.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Ismail berkata antara kelompongan utama dalam usaha memelihara haiwan itu adalah kurangnya kajian ekologi berkenaannya.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Ismail.

“Saya melihat kajian kita kurang, bila kajian kurang, apa sahaja perjanjian yang kita nak buat, tak dapat nak lakukan secara terperinci,

“Ini semua memerlukan kajian, mungkin ada satu dua suara yang boleh beri pandangan, tetapi kajian dia berapa kali? jadi kita kena berterusan fokus kepada harimau ni memerlukan banyak kepakaran dan kewangan,” katanya ketika ditemu bual Buletin TV3 di sini.

Rentetan itu, beliau juga menjelaskan bahawa masyarakat hari ini masih gagal dalam memahami sifat dan keperluan Harimau terutama melibatkan sistem ekologi haiwan pemangsa itu.

“Harimau ni kita kena faham secara saintifiknya, kita kena faham dia memerlukan pasangannya untuk membiak, apa yang menjadi makanan utama dia, seberapa kawasan yang luas, kita kena faham.

“Secara umum orang dah sebut berapa luas kawasan yang diperlukan oleh Harimau, yang penting kini adalah kita takkan menyelesaikan masalah, selagi hutan kita ditebang dan diteroka.”

 

Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi memantau gerak kerja aktiviti melindungi Harimau Malaya.

Ini kerana, menurutnya meski pelan intervensi sudah lama direncanakan kerajaan, namun setiap usaha yang dilaksanakan menemui kegagalan.

Rekod daripada Survei Harimau Kebangsaan Pertama pada 2016 hingga 2020 juga mendedahkan populasi haiwan pemangsa itu kini hanya tinggal kurang daripada 150 ekor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini