comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Guna label ‘Makanan Sunah’ boleh mengelirukan pengguna

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PETALING JAYA: Penggunaan istilah ‘Makanan Sunah’ digunakan secara meluas terutamanya oleh peniaga yang mahu melariskan produk yang kebiasaannya menggunakan kurma, kismis, delima serta madu lebah.

Penggunaan istilah makanan sunah bermula daripada kandungan yang dihasilkan oleh produk tersebut iaitu bahan-bahan yang digunakan ada disebutkan dalam Al-Quran dan Al-Hadis sama ada secara keseluruhan atau sebahagian kecil.

Ia merujuk makanan terbaik, makanan yang memenuhi kriteria penjagaan kesihatan tubuh badan, makanan yang bersifat Wahyu berasaskan kepada nas Al-Quran dan Hadis dan makanan yang pernah diambil oleh Nabi Muhammad SAW.

Melalui media sosial, ada penjual yang begitu berani menyatakan produk yang dijual merupakan makanan sunah dan ia tidak perlu kelulusan Kementerian Kesihatan.

Malah ada juga produk yang dipromosikan pihak tertentu menerusi pengumuman yang dibuat sebagai selingan ketika program ceramah di masjid dan surau.

Ahli Majlis Fatwa Perlis, Dr Kamilin Jamilin berkata takwilan makanan sunah perlu dilihat dalam skop yang lebih luas tanpa merujuk kepada bahan makanan tertentu sahaja.

“Saya boleh kata, banyak produk mengeksploitasi nama-nama makanan yang ada dalam Al-Quran dan Hadis sebagai satu produk komersial contohnya bila dalam Al-Quran ada sebut buah delima.

“Buah delima itu dicampur itu ini maka dilabel sebagai makanan sunah. Mereka (penjual produk berkaitan) akan guna istilah itu terutamanya kalau produk itu berasaskan kurma,” katanya.

Tambahnya ada juga makanan yang diamalkan Nabi Muhammad SAW kerana ia merupakan budaya pemakanan masyarakat Arab yang dikategorikan sebagai Sunah Jibilliyyah.

Bagi Pensyarah Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Norhaizan Mohd Esa, pengambilan makanan sunah seperti kurma jika diambil secara semula jadi sememangnya bagus kerana ia kaya dengan fiber.

Namun jika ia dicampur dengan bahan lain lalu menjadi satu produk, dibimbangi aktiviti bioaktif makanan terbabit terganggu.

“Tetapi ada juga kajian makanan bila kita gabungkan dia akan memberi kesan antigonis dia akan merendahkan lagi keberkesanan sesuatu produk itu.

“Jadi antigonis ini sebenarnya adalah bahan yang menghalang dari segi penyerapan vitamin dan mineral, menghalang dari segi nutrien semula jadi. Jadi dia tidak memberi kebaikan,” katanya.

Menurut laman sesawang berkaitan fatwa kelolaan JAKIM, menggunakan perkataan makanan sunah untuk tujuan komersial adalah dilarang kerana dibimbangi berlakunya unsur penipuan terhadap produk-produk tersebut.

Justeru, pengguna perlu bijak dan peniaga pula jangan ambil kesempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini