Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] GISBH: Tiada unsur jatuhkan ekonomi Islam – Shuhaily

FOTO: Tangkap layar video podcast edisi khas Buletin TV3 tentang Kupasan isu GISBH bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Operasi berskala mega membabitkan GISB holdings (GISBH) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan usaha untuk menjatuhkan ekonomi umat Islam secara khususnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kes GISBH, polis menumpukan aspek berlakunya unsur jenayah membabitkan kanak-kanak.

 

Jelasnya, tindakan sama juga bakal diambil sekiranya wujud kes yang sama membabitkan fahaman dan agama yang lain.

“Saya tiada langsung rasa untuk jatuhkan ekonomi mana-mana orang tak kiralah berlaku pada ajaran agama Budha pun kita akan ambil tindakan yang sama.

“Sekiranya boleh ke tahap pendakwaan maksudnya dia bukan lagi satu ‘hearsay’ maksudnya ada perlakuan eksploitasi terhadap kanak-kanak ini untuk melangsungkan perniagaan jemaah ini (GISBH) yang mana negara-negara maju lain juga tidak menerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program podcast edisi khas Buletin TV3 hari ini.

Mengulas lanjut, masyarakat perlu bijak memahami soal peruntukan undang-undang dan elemen jenayah di negara ini.

Dalam isu GISBH katanya, tidak adil untuk menggunakan sentimen agama dalam konteks tindakan dan pendakwaan.

Tegas Shuhaily, tiada mana-mana agama mahupun kaum yang mendapat keistimewaan atau pengecualian apabila ia dikaitkan dengan hal undang-undang.

“Kebajikan kanak-kanak agama Budha juga kita harus jaga, begitu juga dengan agama Hindu juga kita perlu jaga sebab ini memang dalam peruntukan undang-undang.

“Jadi kalau kita cakap disebabkan mereka ini (GISBH) ekonomi orang Melayu atau Islam, bagi saya tiada pengecualian dalam undang-undang mengatakan harus diberi kelebihan atau kelonggaran,” ujarnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini