Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mengambil tindakan terhadap mana-mana anggotanya yang dikesan terlibat dengan GISB holdings (GISBH).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung pembabitan anggotanya.
“Buat masa ini tiada lagi lah (laporan). Kalau dalam masa terdekat ada kes, saya tiada masalah tangkap anggota atau pegawai yang terlibat dalam GISBH.
“Sekiranya orang awam kata ada mana-mana pegawai dan anggota polis terlibat sila datang dan tampil kedepan buat laporan polis macam biasa dan kita akan ambil tindakanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi podcast edisi khas Buletin TV3, di sini, hari ini.
Sebelum ini, GISBH yang sudah bertapak lama itu juga dilihat menerima penglibatan individu berkerjaya dan profesional seperti ahli perubatan, pengamal perundangan, golongan usahawan dan sebagainya.
Perkara itu dapat dilihat menerusi siri serbuan yang turut membabitkan beberapa cawangan klinik yang bertapak di bawah GISBH.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.