Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Genap 33 tahun pemergian penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, namun legasi seni dan fesyennya terus diingati peminatnya.
Selain vokal yang merdu dan persembahan bertenaga, fesyen unik Sudirman juga menjadi simbol keperibadiannya sebagai anak seni sejati.
Antara fesyen ikonik Sudirman yang masih segar dalam ingatan, jubah Jalur Gemilang yang dipakai ketika persembahan Majlis Penutupan Sukan Sea ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.
“Anda suka tak jubah bendera saya yang berukuran 120 meter ini ?! Kalau suka, satu tepukan kepada tailor saya, Den Wahab !” laung Sudirman dihadapan puluhan ribu penonton.
Ia bagaikan satu pengiktirafan besar kepada tukang jahitnya, Datuk Zaharudin Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Den Wahab pada ketika itu.
Beliau tidak menyangka bahawa Sudirman akan memperkenalkan namanya di pentas stadium.
“Dengan rasa bangga memperkenalkan saya, saya ingat lagi dia cakap ‘cantik tak bendera saya ni ? dan penonton kata cantik!
“Terima kasih kepada tukang jahit saya, Den Wahab. (Laungan) satu stadium, padahal dia bayar bukan kita taja. Itulah sikap Sudirman ini,” kata Datuk Den.

Menyingkap semula kenangan bersama Sudirman, Datuk Den berkata Allahyarham seorang yang teliti dan mempunyai pengetahuan luas tentang dunia fesyen.
“Saya pun tak sangka pula macam-macam jenis rekabentuk yang kena buat daripada kulit ke, rekabentuk fesyen ke semua itu dia akan lakarkan dan tunjukkan kepada saya,” ujarnya.

Kini lebih seratus barangan termasuk set persalinan Allahyarham Sudirman tersimpan di Arkib Negara.
“Jaket ini yang istimewanya sebenarnya adalah tanda tangan ini kerana ini bukan cetakan.
“Ini adalah macam canting tu Arwah Datuk Sudirman lukis sendiri diatas sebidang kain, daripada kain itu lah kita jadikan jaket,” jelasnya.

Nilai sentimental tidak hanya dirasai pada orang terdekat
Sementara itu, nilai sentimental tidak hanya dirasai pada orang terdekat kepada Allahyarham
Bahkan, peminatnya seperti penjawat awam ini yang mempunyai galeri peribadi di kediamannya di Bera, Pahang.
Juga tersimpan ratusan koleksi barangan berkaitan penyanyi kelahiran Temerloh itu.
Antaranya jaket Allahyarham ketika memenangi Asian Popular Music Award di London pada 1989.
“Ada pendapatan sendiri, saya bermula pada itu kumpul sikit-sikit sampai lah sekarang, saya rasa koleksi saya dah lebih RM20,000 rasanya kalau ikut nilai pasaran,” kata Ramlan Md Isa, Pengumpul Barangan Sudirman.

Tahlil, doa selamat setiap tahun sebagai tanda ingatan kepada Sudirman
Tanggal 22 Februari 1992, jam 4 pagi, negara dikejutkan dengan berita pemergiaan Allahyarham Sudirman ke rahmatullah pada usia 37 tahun.
Anak kelahiran Pahang itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh.

Dan mengenang pemergian seniman negara itu, lebih 50 orang terdiri daripada keluarga, sahabat dan peminatnya mengadakan Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat di ibu negara, semalam.
“Ini satu penghargaan masyarakat terhadap Allahyarham dan dedikasinya sebagai penghibur sesuatu yang amat serius dan kreatif, saya rasa mengingat Allahyarham ini secara tidak langsung mendorong artis baharu kita,” kata Datuk Habsah Hassan, Penerbit dan Penulis Lirik.
“Kami sekeluarga memang terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat kerana begitu setia terhadap Allahyarham.
“Mereka mahu hidupkan lagi kenangan lalu bersama Allahyarham Sudirman,” kongsi Mia Sharina Ismail, Waris Allahyarham Sudirman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.