comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gangguan gajah liar, penduduk terputus bekalan makanan, guru kebimbangan

Kelibat gajah liar yang sempat dirakam penduduk Kampung Suma, Pos Bihai, semalam. – FOTO: Ihsan penduduk

GUA MUSANG: Kemunculan gajah liar yang merosakkan tanaman dan sumber makanan Orang Asli di beberapa pos di daerah ini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di pos terbabit.

Ia membabitkan antaranya Pos Bihai, Pos Simpor, Pos Pasik serta Pos Lebir.

Kemunculan gajah liar berkenaan juga turut di kesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, Pos Lebir dan SK Sri Permai, Pos Pasik.

Dalam kejadian terbaharu semalam, kelibat gajah liar itu sempat dirakam penduduk kampung Kampung Suma, Pos Bihai yang sebelum ini telah merosakkan rumah dan tanaman penduduk di Kampung Bujuk pos yang sama.

Penduduk mendakwa, susulan serangan gajah liar itu di Kampung Bujuk, Pos Bihai, kampung terbabit telah menjadi seperti padang kerana semua tanaman dimusnahkan dan rumah dirobohkan.

Menurut penduduk, Asu Pandak, 65, serangan gajah liar terbabit bermula sejak 18 hari lalu di Kampung Bujuk dan Kampung Suma, hingga menyebabkan penduduk tidak berani pulang ke rumah mereka.

“Sejak kejadian pada 4 Januari lalu, penduduk kini tinggal di dalam bangsal yang didirikan di atas bukit dan ada menumpang di rumah saudara.

“Malah sejak kejadian terbabit kami telah terputus sumber makanan. Sebelum ini kami berjimat dengan bantuan yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada awal bulan ini.

“Tapi kini kami memang telah terputus bekalan makanan kerana hasil bercucuk tanam sudah dimusnahkan gajah liar terbabit. Kami harap ada bantuan makanan kepada penduduk di sini yang terjejas kerana serangan gajah liar,” katanya kepada Berita Harian.

Kelibat gajah liar yang sempat dirakam penduduk Kampung Suma, Pos Bihai, semalam. – FOTO: Ihsan penduduk

Bagi guru SK Sri Permai, Ahmad Najmuddin Ja’afar, 33 berkata, kemunculan gajah liar di kawasan sekolah terbabit menimbulkan kebimbangan kepada guru dan kakitangan sekolah itu.

Katanya, semalam adalah kali ketiga gajah muncul di kawasan pagar sekolah dan sebelum ini pernah berada di dalam kawasan sekolah.

“Kejadian pertama berlaku pada Rabu minggu lalu. Gajah liar ini muncul berhampiran rumah guru kira-kira jam 11.30 malam dan guru terbabit sempat melihat kelibat haiwan liar itu.

“Semalam pun gajah terbabit ada datang di sekitar sekolah, namun tindakan pantas cikgu-cikgu dan orang kampung, gajah terbabit berjaya dihalau.

“Apabila serangan dan kemunculan liar ini semakin kerap berlaku di kawasan sekolah, kami rasa takut dan bimbangkan keselamatan kami di sini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, beliau berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat menambah anggota dan kumpulan sokongan mereka di daerah berkenaan  bagi menangani kehadiran haiwan liar itu.

Katanya, daerah ini adalah jajahan paling besar di negeri ini dan kemusnahan tanaman akibat serangan haiwan liar tidak tertumpu di satu kawasan, sebaliknya membabitkan beberapa kampung yang jaraknya agak jauh.

“Gangguan haiwan liar secara berterusan ini memberi kesan kepada sumber makanan dan pendapatan, terutamanya Orang Asli yang tinggal di pedalaman, selain mengancam nyawa penduduk.

“Saya berharap ada inisiatif daripada PERHILITAN untuk membantu menangani masalah ini. Awal tahun ini sahaja telah beberapa aduan diterima, gajah liar mula menghampiri kediaman penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini