NIBONG TEBAL: Penduduk yang mendiami Flat Taman Sintar Indah, di sini runsing apabila unit perumahan mereka diserang ribuan ekor lalat sehingga menyebabkan kehidupan seharian mereka terganggu.
Seorang pekerja swasta, Shahirah Hashim, 25, berkata tiga kali kediamannya diserang lalat sejak menyewa di flat berkenaan sejak Ogos lalu.
“Di sini saya lihat, musim lalat ikut bulan dan hampir 10 bulan menyewa di sini, kali ini (bulan Mei) makin teruk, sampai nak makan dan minum pun susah, mana tidaknya kadang kala terasa seperti tergigit lalat.”
Penduduk yang mendiami Flat Taman Sintar Indah, runsing apabila unit perumahan mereka diserang ribuan ekor lalat sehingga menyebabkan kehidupan seharian mereka terganggu. pic.twitter.com/rqlVeOnw60
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) May 18, 2024
“Saya tinggal di sini dengan mak dan ayah yang mempunyai masalah kesihatan. Apatah lagi, lalat ini boleh mengundang kepada keracunan makanan.”
“Hampir segenap rumah ini dihurungi lalat, dalam tandas, bilik, dapur dan di luar rumah jangan cakaplah terlalu banyak hinggakan saya nak pergi kerja pun lalat ikut sampai ke dalam kereta,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Jelasnya, dia yang bekerja di sebuah kilang di Batu Kawan merancang untuk menyewa di tempat lain sekiranya masalah itu tidak ditangani segera.
Situasi sama dirasai penduduk, G Sivapakiam, 61, yang mahu tindakan segera diambil untuk mengurangkan masalah serangan lalat di kawasan itu.
“Memang ada ladang ternakan berhampiran dan kita harap sangat boleh diselesaikan dengan cara baik. Kasihan kami penduduk dan risau masalah ini boleh mengancam kesihatan kami, tambahan pula banyak duit dihabiskan untuk beli perangkap lalat serta penyembur racun,” katanya.
Difahamkan masalah itu didakwa berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak sistematik dari tiga ladang dipercayai ternakan ayam yang terletak berhampiran.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye mengadakan tinjauan ke flat berkenaan bagi melihat lebih dekat akan permasalahan yang berlaku.
Dalam tinjauan hampir satu jam bersama wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) itu turut dikejutkan dengan serangan lalat yang tidak henti, bahkan ketika sesi temubual pihak media dengan Mooi Lye dan penduduk turut diganggu lalat yang menghurungi anggota badan termasuk peralatan kamera serta telefon pintar.
Pada masa sama, terdapat juga ribuan lalat sudah mati bertaburan di lantai dan tangga serta terlekat di siling kawasan flat terbabit hinggga menimbulkan keadaan yang sangat meloyakan.
Sementara itu, Mooi Lye berkata pihak MBSP dan DVS telah mengadakan lawatan ke atas ladang ternakan berkenaan dan meminta supaya penternak membuat kerja semburan ubat serangga bagi mengawal lalat membiak sekali gus menghurungi kawasan penempatan penduduk.
“Lawatan dibuat susulan aduan yang diterima dan didapati masalah ini berlaku pada bulan-bulan tertentu iaitu ketika proses pengeluaran ayam yang mana penternak didapati tidak menguruskan sisa dengan baik.”
“Oleh itu, MBSP dan DVS telah meminta kerja pengawalan dilakukan dengan membuat semburan ubat yang mana kita dapati ia telah dimulakan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.