KUALA TERENGGANU: Seramai 79 penumpang termasuk kru sebuah feri cemas apabila feri dinaiki mereka terbakar, 2.40 petang tadi.
Difahamkan kejadian berlaku sebaik feri milik sebuah hotel penginapan di Pulau Redang yang dalam perjalanan dari Pulau Redang ke Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, tiba berhampiran Pulau Bidong.
Bagaimanapun, menurut sumber, semua penumpang dan kru terbabit dikatakan selamat apabila masing-masing berjaya dibawa keluar dari feri terbabit sebelum dipindahkan ke sebuah feri lain.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kejadian itu menyebabkan feri berkenaan musnah seratus peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Kita menggerakkan dua aset APMM ke lokasi kejadian bagi melakukan pemantauan sebaik menerima panggilan dari Pusat Operasi Maritim Malaysia (MRCC) di Kuantan, jam 2.40 petang,” katanya.
Katanya, semua penumpang dan kru kemudian dipindahkan ke sebuah feri lain sebelum selamat tiba di Jeti TTI jam 3 petang tadi.