Oleh: Faiz Rais
KUALA LUMPUR: Sama ada tahu atau tidak mahu ambil tahu, itulah sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak peka kewujudan fasiliti untuk orang kurang upaya (OKU). Mereka dilihat tidak mengendahkan fasiliti khas yang diberi kepada golongan OKU.
Artikel berkaitan : Kami juga sebahagian dari komuniti
Selain itu, sesetengah pihak kecewa kerana masih lagi ada yang tidak peduli mahupun tahu tentang fasiliti itu. Apakah rasa empati dan belas ehsan semakin terhakis ataupun kurangnya pendedahan kewujudan fasiliti khas OKU di negara ini.
Menurut Timbalan Presiden OKU Sentral, Ahmad Daniel Sharani, kebiasaannya di kawasan bandar boleh dilihat terutamanya di kaki lima banyak sekali laluan kuning itu. Itu sebenarnya adalah laluan “tactile” untuk OKU penglihatan berjalan supaya dapat memudahkan mereka.
“Bagi yang menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) untuk pergi ke tempat kerja atau beriadah, kehidupan mereka pasti akan tergendala pada hari itu kerana ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menghalang laluan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, ada juga segelintir rakyat yang ditanya, tahu akan kewujudan laluan ‘tactile’ ini. Kami juga mendapatkan reaksi orang ramai berhubung pengetahun mereka keberadaan laluan timbul ini yang diwujudkan untuk panduan pejalan kaki OKU penglihatan. Justeru, ianya bukan alasan utama rakyat negara ini tidak tahu fungsi laluan ‘tactile’.
Menurut pekerja swasta, Muhammad Iskandar, kemungkinan perlu diadakan poster atau papan tanda sebagai penunjuk kepada orang ramai tentang laluan ‘tactile’ ini. Dia juga berharap semua masyarakat semakin peka agar tidak mengambil mudah perkara seperti ini terutamanya bagi insan yang kekurangan.
“Justeru, kita yang ada kelebihan ini perlu memberi kelebihan kepada orang yang kekurangan. Laluan jalan kaki juga digunakan oleh semua orang. Seharusnya, kita yang ada kelebihan ini patut meringankan beban insan yang kekurangan,” katanya.
Seterusnya, tinjauan di sekitar ibu kota juga mendapati ada pihak yang masih tidak mengendahkan kemudahan bagi golongan OKU. Ada yang meletakkan motosikal menghalang laluan berkenaan tidak kurang juga peniaga yang meletakkan meja makan atas laluan “tactile”.
Diharapkan agar semua pihak boleh meningkatkan kesedaran tentang kemudahan golongan OKU ini. Jika kita masih diberi keupayaan untuk memilih kesenangan, janganlah kita menyusahkan mereka yang kekurangan.