ISKANDAR PUTERI: Empat kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Johor yang dilaporkan hilang selepas bot PL87 dinaiki mereka terputus hubungan sejak petang semalam, ditemui selamat pada jarak kira-kira 13 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dikesan semalam.
Fatimah Razak, 36; yang mengetuai bot berkenaan, bersama tiga kru lain, Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53, ditemui pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada kedudukan satu batu nautika dari Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia, jam 1.45 petang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, hasil maklumat awal diperolehi, bateri bot berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan.
“Bot kemudian tidak dapat berfungsi dengan baik sebelum dihanyutkan.
“Ketika ditemui, semua kru dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya ketika sidang media di Jeti APMM Sungai Pulai di sini, hari ini.
![](https://media.buletintv3.my/2023/03/pp-cms-49.jpg)
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abd Wahab.
Nurul Hizam turut mengesahkan bahawa ketika ini, bot berkenaan masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang menjalankan urusan membawa pulang semua mangsa dengan kerjasama TNI.
“Bot PL87 kini dalam proses pembaikan oleh TNI, jika ia boleh dibaiki, bot akan bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita.
“Kita berharap semua urusan membawa pulang bot PL87 dan mangsa dapat diselesaikan hari ini dan proses serahan dijangka dibuat di atas laut perairan Johor Barat,” jelasnya.
Semalam, bot yang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi ke Pengkalan Jabatan Perikanan di Tampoi, Johor Bahru, sejak jam 12.45 tengah hari semalam, gagal dikesan dan dihubungi kira-kira jam 3 petang.
Bot berkenaan sepatutnya dijadualkan tiba di Tampoi pada jam 6.30 petang.
Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan bermula jam 8 malam semalam membabitkan keluasan carian sehingga 47 batu nautika.
Lapan aset digerakkan termasuk helikopter APMM, bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor.
“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi SAR ini,” katanya yang menamatkan SAR kes berkenaan jam 2 petang tadi