Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] EKSKLUSIF: Taktik baharu kongsi gelap, umpan bantuan mahu pancing ahli baharu

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Wang ringgit ditabur persis jutawan. Penerimanya pula pengurusan pusat kebajikan yang tanpa rasa curiga akan bantuan dihulurkan.

Taktik baharu kumpulan kongsi gelap itu ada ‘udang di sebalik batu’.

Sasarannya ingin merekrut ahli baharu termasuk dalam kalangan anak yatim.

Pendedahan dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam satu temubual khas bersama wartawan Juliana Sharin baru-baru ini.

Datuk Seri Abd Jalil berkata, kumpulan kongsi gelap itu mengambil kesempatan di atas kealpaan pengurusan pusat kebajikan, yang dengan mudah menerima bantuan tanpa memeriksa latar belakang pendermanya terlebih dahulu.

Wang tunai dan barang keperluan asas dijadikan umpan untuk menjalinkan kerjasama dengan pusat terbabit.

Selepas yakin berjaya ‘beli jiwa’ mereka, usaha dilakukan untuk memancing penghuninya menyertai mereka termasuk sebagai pengedar dadah.

“Rupanya mereka nak merekrut golongan muda ini untuk bersama mereka apabila keluar nanti. diaorang pun ada long term punya study jadi dengan kaedah kaedah ini mereka dah boleh pegang,” katanya.

Ujarnya lagi, pertubuhan haram ini mensasarkan anak yatim lelaki berusia antara 15 hingga 18 tahun.

Tambahnya, golongan yang dahagakan kasih sayang ini mudah terpedaya dengan “wayang” kumpulan itu apabila diberikan perhatian.

Taktik itu juga dipercayai bagi “mencuci duit”, hasil aktiviti haram.

“Mereka tidak akan pergi ke pusat kebajikan itu bedasarkan nama mereka, contohnya saya kumpulan kumpulan ini ingin memberi bantuan. Diaorang akan takut, sebab jumlahnya bukan sedikit,” katanya.

Pendedahan dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan (tiga dari kiri) dalam satu temubual khas bersama wartawan Juliana Sharin (empat dari kanan) baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, bagi mengaburi pihak berkuasa, pertubuhan haram ini cuba rapat dengan NGO yang mempunyai reputasi baik dalam melakukan kerja-kerja amal.

Kerjasama pihaknya dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah beberapa kali mematahkan tipu helah itu.

“Apabila mereka telah bekerjasama sukar untuk menarik balik, sebab NGO yang telah menjadi ahli mereka akan dikawal,” katanya.

Kegusaran PDRM ini ada asasnya, apabila wujud cubaan menghidupkan kembali kumpulan kongsi gelap yang telah diwartakan sebagai pertubuhan haram.

Namun semuanya dipantau rapi polis.

Sumber polis turut berkongsi maklumat upacara angkat sumpah, yang dahulunya sering diadakan di jirat cina, kini gah di hotel terkemuka.

Bukan sedikit, 72 kumpulan kongsi gelap dengan 9042 ahli diwartakan sebagai pertubuhan haram di negara ini.

39 daripadanya kumpulan berbangsa cina dengan 4,143 keahlian.

Biarpun terdapat hanya tiga kumpulan berbangsa melayu namum jumlah ahlinya kedua tertinggi 3,113 orang.

Setakat ini tiada kumpulan kongsi gelap ditubuhkan warga asing.

Dari 2016 hingga februari tahun ini, 3,864 ahli kongsi gelap ditangkap kerana melakukan kesalahan jenayah kekerasan seperti merusuh, mencederakan, pemerasan, dan diambil tindakan di bawah Undang-undang Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api 1971 dab Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam tempoh sama, 3,899 individu ditangkap kerana menjadi ahli kumpulan kongsi gelap. kesalahan yang dilakukan adalah pemilikan tanda atau logo melakukan upacara angkat sumpah, memiliki tatu atau lambang dan mempamerkan papan tanda yang mempunyai simbolik kumpulan kongsi gelap. Disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966

Sementara itu, 583 ahli kongsi gelap telah diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). Manakala 320 ahli kongsi gelap diambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA).

Loading...
Terkini