Oleh: Izzatie Rizan
KUALA LUMPUR: Jika pencinta haiwan lain selesa membela kucing, burung mahupun arnab, Lee Wai Kok pula sebaliknya.
Usahawan ini memilih serangga kumbang tanduk yang juga digelar kumbang raja untuk dipelihara.
Menyifatkan hobi itu ada kepuasan tersendiri, obsesinya membawa kepada perniagaan serangga eksotik berkenaan secara sepenuh masa.
Mempunyai ciri unik, spesis serangga yang turut mendapat jolokan ‘kamen rider’ ini, membuatkan penggemarnya begitu obses membesarkan kumbang berkenaan.
Dunia kumbang tanduk begitu sebati dengan Lee Wai Kok sejak 19 tahun lalu.
Berkongsi kisah, cintanya tercetus ekoran meminati permainan kad popular tahun 2000, ‘mushiking’ yang menjadikannya obses mencari dan memiliki serangga terbabit.
Beliau berkata ketika itu kumbang tanduk banyak terdapat di hutan tanah tinggi terutama di Genting Highlands, untuk itu dia tidak kisah berulang alik lima kali sebulan demi hobi berkenaan.
“Dulu ada bas yang akan berhenti sampai Gahtong Jaya, kemudian saya akan jalan kaki sampai ke Genting. Biasanya kumbang tanduk suka cahaya lampu, jadi ketika itulah saya akan menangkapnya… bergantung kepada cuaca dan rezeki.
“Ada juga yang ketawakan hobi saya ini, termasuk yang kata ianya membuang masa, tapi saya nampak ianya satu peluang perniagaan sebab tak ramai yang nak bela kumbang ini,” katanya kepada Buletin TV3.
Kata beliau kesan perubahan ekosistem menjejaskan habitat kumbang tanduk.
Berikutan itu Lee belajar menternak kumbang peliharaan dengan formula makanan khas.
Iaitu campuran tanah dan habuk kayu serta formulasi organik lain supaya kumbang dipelihara membesar.
Menurut Lee proses kritikal adalah pada peringkat larva yang mana ia dipelihara semaksimum mungkin, antara satu hingga dua tahun untuk mendapatkan saiz lebih besar.
Seperti sebahagian spesies serangga lain, spesis jantan lebih besar daripada betina.
Bagaimanapun tempoh hayat kumbang ini hanya enam bulan.
“Saya tergerak memelihara kumbang ini sebagai pendidikan untuk generasi hadapan. Bayangkan ada kanak-kanak tidak mengenali ia adalah kumbang. Ada yang kata ia adalah lipas.
“Kedengaran lucu tetapi saya lebih bersimpati generasi muda tidak mengenali serangga yang berada di persekitaran,”katanya lagi.
Difahamkan secara keseluruhannya terdapat kira-kira 3,000 kumbang daripada spesies sama di serata dunia dan lebih 200 daripadanya menjadi koleksi Lee.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.