Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Contohi akhlak Rasulullah SAW, jauhi fitnah, kata dusta, pembohongan – Agong

 

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat mencontohi akhlak warisan maknawi Nabi Muhammad SAW yang mulia dalam pertuturan dengan bercakap hanya mengenai kebenaran, jujur, di samping menjauhi fitnah.

 

Baginda bertitah, hakikatnya perkataan yang kurang elok sama ada ketika tutur bicara mahupun dalam penulisan di media sosial, kata-kata berbentuk cacian, nista dan dusta serta fitnah, hanya mengugat kestabilan dan keharmonian negara tercinta.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. – Foto: NSTP

“Marilah kita mengambil iktibar daripada kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya,” titah Seri Paduka sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Seri Paduka bertitah selepas kewafatan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, fenomena fitnah telah membawa kepada peristiwa amat tragis dalam sejarah Islam menerusi pembunuhan khalifah ketiga Saidina Uthman Affan.

“Demikian hebat hakikat fitnah dan tipu daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agung, malahan telah turut menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara,” titah Seri Paduka lagi.

Seri Paduka seterusnya bertitah, sirah Rasulullah SAW dalam lipatan sejarah juga mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir sebuah negara.

“Hikmahnya, Rasulullah SAW telah berjaya membawa manusia keluar dari kejahilan dan kelalaian sehingga berjaya membina generasi yang cemerlang,” titah Seri Paduka.

Justeru, baginda yakin Malaysia akan mencapai puncak kejayaan hakiki apabila syariat Islam dan nilai murni serta ketinggian akhlak yang dibawa Rasulullah SAW menjadi tatanan (aturan) tadbir urus negara.

Seri Paduka bertitah maqasid syariah perlu dijadikan kerangka asas dalam penyampaian perkhidmatan agar kemaslahatan rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan terus terpelihara.

“Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini, marilah kita bertekad dan beriltizam untuk terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa Rasulullah SAW,” titah Seri Paduka.

Sambutan Maulidur Rasul kali ini bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia MADANI”.

Turut berangkat ke sambutan ini ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku  Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini