Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Cinta Ahmad Mutawakkil’ suntik semangat kenegaraan


Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PUTRAJAYA: Penuh dengan semangat kenegaraan dan perpaduan. Dua elemen itu menjadi faktor cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil di angkat ke pentas teater.

Cinta Ahmad Mutawakkil mengisahkan kegigihan seorang anak muda yang menghadapi pelbagai cabaran dalam perjuangan menentang penjajah.

Walaupun perjuangannya hanya melalui penyampaian maklumat – penduduk kampung amat menyayanginya kerana mereka bergantung kepadanya untuk mendapatkan informasi semasa sehinggalah Mutawakkil menemui ajal ditembak Komunis.

Amirul Haswendy Ashari selaku pengarah berkata persediaan bagi pementasan teater itu agak mencabar kerana dia perlu memastikan penceritaan dibawa para pelakon tidak tersasar daripada jalan cerita sebenar.

Malah katanya, cerpen yang asalnya terkandung di dalam Antologi Teks Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan 5, buat kali pertamanya akan dipentaskan pada skala yang besar.

“Bila kita nak bawa cerpen dari peringkat sekolah untuk dipentaskan, kita tidak boleh ikut 100% dari cerpen itu, kerana dari segi pementasan, skrip memang banyak beza.

“Sebab itu kita ada tambah watak untuk memeriahkan dan mencantikkan lagi penceritaan teater itu dan sesuai dengan skala besar yang akan dipentaskan.

Kisah Ahmad Mutawakkil itu nanti diharap menjadi tauladan terutama kepada anak muda.

“Dari situlah kita nak tengok penonton generasi baru bila dia tengok teater ini, oh sebenarnya tidak perlu jadi tua pun untuk memperjuangkan semangat kenegaraan.

“Pada usia muda ini, darah masih panas, kena gunakan semangat itu untuk membuat perkara yang bermanfaat untuk negara,”

Cerpen itu merupakan karya asal karya Zainal Rashid Ahmad yang memenangi Hadiah Sastera Utama bagi Kategori Cerpen Remaja Kumpulan Utusan 2002.

Ia mengangkat tema perpaduan dan kenegaraan terutama ketika negara menuju kemerdekaan, bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang kemeriahannya masih terasa bahangnya.

Teater Cinta Ahmad Mutawakkil bakal menampilkan barisan pelakon seperti Shah Iskandar, Mimi Enirda, Geoff Andfre, Adam Shah, Ag Hafiz, dan lain-lain.

Karya itu akan dipentaskan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya, 20 hingga 22 September ini, sempena Festival Budaya Putrajaya 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini