Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Cadangan bina jejantas elak aliran air deras di Gunung Kinabalu

@sabah_info

Pendaki menghadapi detik cemas apabila air terjun deras terjadi akibat hujan lebat di puncak Gunung Kinabalu (12Sept2023) 📽️sabah_parks

♬ original sound – Sabah Info – Sabah Info

 

KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah meneliti kesesuaian membina jambatan besi via ferrata atau jejantas merentasi aliran air deras ketika hujan lebat di kawasan puncak Gunung Kinabalu.

Pengarahnya, Dr Maklarin Lakim berkata, ia antara langkah bagi meningkatkan tahap keselamatan pendaki yang ketika ini terpaksa mengharung aliran air deras jika hujan lebat di kawasan puncak gunung.

Katanya, ketika ini langkah keselamatan yang dilaksanakan ialah dengan merentangkan tali putih di laluan pendakian sebagai tempat pendaki berpaut bagi mengelak tergelincir.

“Untuk langkah keselamatan, tali putih direntang di laluan pendakian sebagai panduan dan pendaki dipimpin oleh malim gunung. Seorang malim hanya dibenarkan membawa maksimum lima pendaki untuk tujuan keselamatan.

Tali putih direntang di laluan pendakian sebagai panduan dan pendaki dipimpin oleh malim gunung

“Langkah keselamatan lain di laluan ini sedang diteliti, termasuk kesesuaian memasang ‘jambatan-besi’ (via ferrata) atau membina jejantas merentangi ‘sungai’ puncak gunung,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau mengulas klip video memaparkan sekumpulan pendaki mengharung aliran air yang deras di kawasan puncak Gunung Kinabalu yang dimuat naik di laman Facebook Taman-Taman Sabah, semalam.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, seramai 115 pendaki yang diiringi 37 malim gunung berada di kawasan puncak apabila hujan lebat berlaku dan menyebabkan aliran air yang deras.

Maklarin berkata, pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dari tempat penginapan di Panalaban dimulakan seawal jam 2 pagi ketika keadaan cuaca masih baik.

“Pendakian hanya dibatalkan jika cuaca buruk sejak dari malam atau awal pagi lagi. Laporan di media sosial adalah akibat hujan lebat berterusan setelah pendaki melepasi pos kawalan Sayat-Sayat di Kilometer 7.2 dan di puncak gunung,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu yang berada di altitud tinggi sama seperti aktiviti sukan lasak yang lain adalah mencabar dan berisiko meskipun ciri-ciri keselamatan sudah dititikberatkan.

Loading...
Terkini