Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Cuaca panas dan ketiadaan laluan di ladang kelapa menjadi cabaran bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dalam usaha memadamkan kebakaran ladang kelapa berhampiran Gebeng di sini.
Pengarahnya, Mohd Razam Taja Rahim, berkata angin kuat dan cuaca panas menyebabkan tanah menjadi kering dan api cepat merebak.
Di sebalik cabaran itu, wira merah terus berdedikasi mengawal dan memadamkan kebakaran tersebut walaupun sedang berpuasa.
Operasi pemadaman disertai lebih 70 anggota bermula pada jam lapan pagi hingga sembilan malam.
Operasi pemadaman turut melibatkan helikopter dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang melakukan penerbangan selama tiga jam dan mencurah air yang diambil dari tasik berhampiran lokasi kebakaran.
Cuaca panas dan ketiadaan laluan di ladang kelapa menjadi cabaran bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dalam usaha memadamkan kebakaran ladang kelapa berhampiran Gebeng di Kuantan. pic.twitter.com/kalVduEBkg
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) March 4, 2025
Kebakaran dilaporkan berlaku sejak 22 Februari lalu dan telah memusnahkan 130 hektar ladang tersebut, manakala 91 hektar kawasan terbakar telah berjaya dipadamkan.
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Balok Baru pada jam tujuh petang tadi merekodkan kategori tidak sihat dengan bacaan 193.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.