KUALA LUMPUR: “Saya muat naik video ini hanya suka suka saja”.
Demikian luahan Hakimah Zakir, 31,susulan video yang dikongsikan di TikTok memaparkan pasukan bomba membantu mengeluarkan sikat yang tersekat pada rambut anaknya, Nur Maryam Medina, 3 mencetuskan kritikan dalam kalangan warganet.
Menurutnya, dia berasa sedih apabila perkongsiannya itu disalah anggap segelintir pihak hingga mengeluarkan komen yang mengguris hati.
"Saya muat naik video ini hanya suka suka saja" – Ibu pic.twitter.com/oKxGOlMCfw
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 23, 2023
“Video ini hanya suka suka saja dan buat kenangan lucu membesarkan anak saya. Tapi tak sangka ruang komen jadi macam itu sekali. Memang sedih sebab tak sangka pula dihina dan dimaki sebegitu rupa.
“Sedangkan saya sudah terangkan pada kapsyen video mengenai kejadian itu. Tapi orang ramai masih menuduh yang bukan bukan hingga ada yang buat fitnah kata saya nak menggatal.
“Hingga saat ini saya ambil pendekatan berdiam diri dan tak balas setiap komen. Keluarga pun minta saya diam saja. Lagi saya balas, nanti lagi menjadi. Sebab dalam situasi itu, hanya saya, keluarga dan anggota bomba saja yang tahu. Malah, ahli bomba terbabit pun ada komen di TikTok saya,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai insiden yang berlaku pada 1 September lalu itu, Hakimah berkata dia mengambil masa dua jam untuk meleraikan rambut anaknya.
“Macam-macam cara saya dah buat, tapi tak boleh juga. Saya dah cuba gunting sikat tu, tapi tak berjaya juga. Kalau ke salon rambut anak pula digunting. Saya kalau boleh nak elakkan.
“Takkanlah disebabkan itu saya nak hubungi talian kecemasan bomba dan mereka datang rumah pula. Jadi, jalan terakhir saya adalah pergi dapatkan bantuan sendiri.
“Sampai di balai bomba, saya tanya dulu. Apabila mereka sudi bantu, saya bersyukur. Alhamdulillah, tak sampai 15 minit semuanya selesai,” katanya.