Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: UMNO tidak sesekali terkesan terhadap tindakan mana-mana ahlinya yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti demi kepentingan tertentu.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, misi utama beliau ketika ini adalah untuk menyatupadukan semula ahli-ahli serta akar umbi di dalam UMNO.
“Mana tak kecil kalau di dalam itu (UMNO) berpecah. Sebab itu matlamat saya sekarang dalam UMNO untuk menyatupadukan semula ahli dan akar umbi.
“Mereka yang tinggalkan parti sila tinggalkan terus, yang keluar sekejap keluar selama-lamanya pun tak mengapa… jadi mana yang ada itu harus setia pada parti,” katanya.
Bercakap di dalam siri Podcast Utama Buletin TV3 hari ini, beliau turut meletakkan dirinya sebagai contoh dalam aspek kesetiaan terhadap parti meskipun menerima tekanan hebat dalam kalangan seteru politiknya.
Mengulas berhubung konteks sama, beliau turut mengaitkan kes mahkamah yang didepaninya sebagai gerakan sama untuk menjatuhkan karier politiknya.
“Macam saya, 87 pertuduhan (mahkamah) jelas bahawa itu satu pertuduhan yang sengaja dibuat tetapi apabila saya pertahankan diri di mahkamah jelas 40 kes di Mahkamah Shah Alam dilepas dan dibebaskan, bukti dan saksi cerita perkara sebenar.
“47 kes di Mahkamah Kuala Lumpur pun saya jalani perbicaraan lebih tiga tahun dan saya tetap kekal dalam UMNO dan tidak ada kekhuatiran walaupun tuduhan itu setelah saya diugut untuk bubarkan UMNO dan sertai mereka.
“Harga yang saya bayar itu mahal kerana tak mahu sertai Perdana Menteri yang hanya 22 bulan jadi saya bayar… apa nak takut?,” jelasnya lagi.
Melihat kepada gelora yang sedang melanda UMNO sebelum ini, beliau katanya lebih rela melihat UMNO yang terdiri dengan jumlah ahli yang sedikit berbanding individu yang mempamerkan sikap ‘tali barut’.
“Jika ada gunting dalam lipatan, ada kaduk naik junjung, saya fikir orang-orang ini tak diperlukan dan biarlah sedikit ahli UMNO. Jumlah ahli yang banyak kita tidak mahu jadi seperti buih di lautan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau akui UMNO bukan lagi parti yang dominan seperti dahulu, bagaimanapun beliau yakin kedudukan itu mampu dicapai semula.
Tanpa mendedahkan strategi parti, Ahmad Zahid berkata, usaha ke arah itu sememangnya telah mula digerakkan sebagai persiapan menuju ke pilihan raya yang akan datang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.