comscore
Tumpuan :
Nasional

[EKSKLUSIF] Bekas ahli GISBH dedah kerja tanpa gaji, dipaksa sumbang wang kepada pimpinan


Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didakwa tidak dibayar gaji meskipun perlu bekerja dari siang hingga ke malam.

Seorang bekas pengikut yang mahu dikenali sebagai Mohd Ali, 33, mendedahkan rata-rata mereka didoktrin bahawa pekerjaan umpama sebuah perjuangan untuk agama.

Mohd Ali mendakwa bahawa alasan itu digunakan untuk menindas dan mengelak kewajipan untuk membayar upah yang sewajarnya kepada para ahli.

“Saya pernah ditawarkan untuk berkahwin dengan syarat perlu berkhidmat sepenuh masa dengan GISBH, tapi saya tolak sebab saya tahu memang takkan dapat gaji. Memang tak ada gaji, “ katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Buletin TV3.

Dia turut mendedahkan bahawa GISBH menggunakan sistem ma’ash, di mana keperluan asas seperti tempat tinggal dan makanan disediakan sebagai ganti kepada gaji.

Bagaimanapun, dakwanya, keperluan ini sering kali tidak mencukupi dan ahli-ahli terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan, walaupun organisasi itu terus berkembang dan memperolehi keuntungan yang besar hasil daripada perniagaan di seluruh negara.

“Mereka kata biar ahli tidak kaya, tapi jemaah yang kaya. Biar orang nampak Islam itu kaya, Islam itu indah, tapi realiti, ahli-ahli hidup macam hamba. Rumah pun tiada,” jelas Mohd Ali.

Mohd Ali

Selain dipaksa bekerja tanpa gaji, Mohd Ali berkongsi bahawa setiap ahli jemaah diwajibkan menyumbang wang ringgit melalui sebuah tabung yang dikenali sebagai Tabung Taqwa atau Kutipan Harian.

Tabung berkenaan, kononnya bertujuan untuk menampung projek perniagaan GISBH di setiap zon dan negeri.

“Tabung (kutipan harian) tu untuk jemaah, mereka kutip duit, tapi yang senang orang atas. Yang bawah makan pun tak cukup. Pimpinan boleh pakai kereta besar, rumah besar,” katanya lagi.

Lebih kejam, dia turut membongkar penindasan mental yang berlaku kepada kalangan ahli jika mereka tidak mencapai sasaran kutipan tabung berkenaan.

“Bila tak dapat target untuk kutip duit tu, mereka (ahli) kena merintih depan tuannya (pemimpin), tuan terimalah kami, ampunkan kami, disuruh menangis lagi depan tuan-tuan ni,” kongsinya.

Tambahnya, ahli dipaksa tunduk kepada kehendak pimpinan, atas dasar perlu mengkultuskan mereka dan dinafikan hak serta kebebasan untuk membantah.

Baginya, organisasi itu hanya memperhambakan ahlinya untuk kepentingan pimpinan yang berkuasa.

Ini merupakan pendedahan awal Mohd Ali kepada Buletin TV3. Lebih banyak pengakuan mengejutkan mengenai sistem kekeluargaan, dan evolusi ajaran sesat dalam GISBH akan dibongkar dalam siri seterusnya, esok.

Jangan ketinggalan untuk mengikuti pendedahan selebihnya di Buletin Utama, TV3.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini