comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir kilat di Terengganu, 7 sekolah ditutup

KUALA TERENGGANU: Hujan lebat di Terengganu yang bermula malam tadi menyebabkan beberapa jalan utama di sini dilanda banjir kilat.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Kamarudin, Jalan Sultan Omar dan ⁠Jalan Gong dan ia turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Tujuh sekolah di dua daerah negeri ini terpaksa ditutup.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata daerah terlibat termasuk Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Beliau berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (SMKA) Sheikh Abdul Malek; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman; SK Gelugor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin, SK Kedai Buloh dan SK Lubuk Periuk.

“Tujuh sekolah tidak dapat beroperasi dan diberi cuti bencana kerana kawasan sekolah atau laluan ke sekolah dinaiki air.”Untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), JPNT sudah bersiap sedia dan akan menggerakkan Ops Payung sekiranya keadaan semakin buruk,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Bagaimanapun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan ketika ini terdapat dua sungai di daerah Hulu Terengganu yang telah melepasi paras bahaya pagi ini.

Dua sungai tersebut ialah Sungai Peneh di Felda Mengkawang yang menunjukkan bacaan setinggi 37.73 meter berbanding paras bahaya 37.5 meter dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu menunjukkan bacaan 21.82 meter (paras bahaya 21 meter).

Selain itu, tiga sungai pula menunjukkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga ketika ini.

Dua daripadanya terletak di daerah Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok.

Di Kemaman, Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik juga melepasi paras berjaga-jaga dan situasi sama berlaku di Parit Utama, Padang Kemunting di daerah Kuala Nerus.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini