NEW YORK: Pesawat khas membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selamat mendarat di Lapangan Terbang Westchester County di sini kira-kira jam 10.55 pagi Rabu ( 10.55 malam Rabu waktu Malaysia).
Anwar berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Ketibaan Anwar di lapangan terbang Westchester County disambut Menteri Luar,Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Anwar kemudian bertolak ke hotel penginapan yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dan akan disambut oleh beberapa menteri kabinet serta pegawai-pegawai kerajaan.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selamat mendarat di Lapangan Terbang Westchester County. pic.twitter.com/kz8BXlFXIy
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 20, 2023
Jadual Anwar padat hari ini termasuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di sini.
Kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu Islamofobia dan cara untuk menanganinya di pentas global.
Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi dan Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe hari ini.
Mesyuarat itu akan berlangsung di luar UNGA.
Hari ini juga Anwar akan ditemubual agensi media CNN.