Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Angin kuat, zink mula berterbangan macam sampah – Mangsa Ribut

Foto NSTP

BATU PAHAT: “Petir dan mendung lain macam dan kemudian hujan lebat disusuli kilat. Tidak lama selepas itu, angin kuat zink mula bertebangan macam sampah,” kata Sahid Lakiman menceritakan kembali kejadian apabila sebahagian besar bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut, di sini semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 3 petang ketika Sahid 73, yang juga bilal Surau As Syakirin Kampung Sungai Kalong Getah, Senggarang bersama isterinya, Wahyunah Yusof, 68, itu sedang berehat di rumah.

“Saya dan isteri duduk dalam rumah terdengar bunyi macam helikopter mendarat. Saya buka pintu hadapan lalu azan sebanyak 10 kali barulah ribut reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kalong Getah, di sini.

Menurutnya lagi, betapa kuatnya angin menyebabkan ada 10 keping zink diterbangkan sekali gus sebelum jatuh bertaburan atas tanah.

“Saya sendiri melihat angin berpusing dengan zink dari belakang rumah melambung ke hadapan.

Keadaan dalam rumah pada waktu itu seolah-olah musim banjir dengan air hujan membasahi semua ruang.

“Kejadian itu menyebabkan bumbung rosak kira-kira 80 peratus selepas hampir semua diterbang angin,” katanya turut memaklumkan ribut berlaku dalam tempoh lebih seminit.

Rumah Sahid adalah paling teruk mengalami kerosakan dan dia bersama isteri kini menumpang rumah anaknya yang hanya terletak di belakang.

Seorang lagi mangsa, Ishak Aziz, 67, berkata bumbung rumahnya diterbang angin sejauh 50 meter sebelum ‘singgah’ atas sebuah rumah di seberang jalan Senggarang-Pontian.

Katanya, sewaktu kejadian dia sedang baring atas kerusi di luar rumah sebelum melihat angin berputar-putar dari belakang sambil menerbangkan zink.

“Pokok kelapa depan rumah macam rukuk, kuatnya angin masa tu. Saya dan isteri, Rafeah Salleh, 65, hanya mampu azan dan melihat satu persatu bumbung terbang.

“Kali terakhir ribut berlaku di kawasan ini pada 1995 tetapi tidaklah sedahsyat ini. Yang ini paling mendebarkan dan apa yang berlaku semalam, seolah-olah berlaku di luar negara,” katanya.

Loading...
Terkini