Oleh: Fahmi Tajuddin
KUALA LUMPUR: Penularan fahaman ajaran sesat yang membawa kepada pengembangan ideologi songsang mampu menjadi ancaman serius terhadap negara.
Lebih membimbangkan, jika sebuah kumpulan ajaran sesat itu mempunyai pengaruh yang ramai sehingga mampu mewujudkan hierarki organisasi, jemaah, penempatan, ekonomi dan sistem pertahanan.
Ajaran sesat moden: Retorik lama, ancaman baharu
Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (CMIWS), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menegaskan, ancaman itu tertumpu kepada asas yang lazim, yakni ketaasuban melampau dan hidup dalam keadaan yang kononnya ditindas.
“Ajaran sesat ni kalau kita tengok dia ada corak dia, dan tak lari dengan corak-corak asas iaitu peristiwa akhir zaman, mengaku sebagai nabi, dapat wahyu dan perkara berkaitan membina penempatan baru, dan ini membawa kepada pengembangan idea mengikut konsep dan corak yang telah wujud sepanjang zaman.
“Modus operandinya mudah untuk kita fahami, dia bermula dengan kepercayaan, ketaasuban dan kemudian akan lahir satu ciri latihan fizikal dan ritual fizikal,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Podcast Edisi Khas Buletin TV3, yang membincangkan isu ajaran sesat dalam negara, hari ini.
Ritual fizikal mendasari pegangan
Mengulas lanjut, Nirwandy berkata ritual fizikal yang diguna pakai dalam setiap aliran ajaran sesat hari ini menjadikan golongan itu tampil berani memperkenalkan sistem pengurusan sosial sendiri demi menarik lebih ramai pengikut.
“Perkara ini adalah satu bentuk ritual yang bersifat fizikal. Ada dalam kalangan ajaran sesat ni contoh macam Millah Abraham mengajak orang berhijrah dari Semenanjung ke Sabah Sarawak, lebih kurang 2000 pengikutnya dan dijanjikan dengan salah satu promise land.menggunakan sistem Al-Din, Khalifah.
“Ada ritual yang kita katakan sebagai ritual fizikal yang menyediakannya hingga menghalalkan jihad qital sebagai darah sunni darah halal, itu yang cukup membimbangkan dalam konteks agama,” tambahnya.
Obsesi melampau ‘Mahdisme’ menapak di media sosial
Ditanya bagaimana ajaran sesat masih mampu bertapak hingga ke hari ini, Nirwandy menyifatkan ianya berevolusi dengan akar umbi yang sama bersandarkan kepada ‘tiket mudah’ ke syurga, dan ketaasuban ‘Mahdisme’.
“Mungkin sebab faktor mencari sinar baharu dalam kehidupan, dan ia selalu dalam perkara yang kita gelarkan dalam konteks pendidikan shortcut society, apabila mereka mencari jalan pintas mencari agama. Maka dilihat jalan pintas itulah jalan ke syurga, jalan untuk menguatkan umat Islam,” tambahnya lagi.
Beliau juga menyifatkan platform media sosial menjadi ‘batu loncatan’ kepada kumpulan ajaran sesat untuk berevolusi dengan pendekatan lebih terbuka.
Katanya, Ia ditambah dengan kelompok tertentu yang terlalu taasub dengan kedatangan Imam Mahdi, sehingga mewujudkan pola pemikiran jihad yang menyimpang daripada ajaran sebenar.
“Platform media sosial ni bukan memperkecil ruang, tapi memperbesar ruang untuk orang lain dan kumpulan ajaran sesat ini memperluas pandangan mereka dan elemen kepercayaan. Ajaran sesat tak pernah mati, dia lebih radikal dan berwajah baharu.
“Bukan agama Islam sahaja yang membincangkan perihal akhir zaman, ia turut dibincangkan oleh agama-agama monoteisme yang lain, dan ini memberi anjakan awal kepada mereka untuk berlumba untuk mendapatkan pegangan dan cara kehidupan yang membawa kepada kelegaan kepada mereka,” katanya.
Nirwandy juga berkata, media sosial yang berpaksikan kandungan mengikut algoritma mampu menyumbang kepada faktor individu terjerumus dalam fahaman songsang.
“Algoritma berkaitan kemajuan, perlumbaan kekayaan adalah perkara yang tidak berbahaya, tetapi algoritma yang mengubah corak berfikir masyarakat, yang meletakkan kehidupan akhir zaman, meletakkan kehidupan selepas kematian sebagai keutamaan dalam kecenderungan yang salah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.