Oleh: Fahmi Tajuddin
KUALA LUMPUR: Penyebaran ajaran sesat di Malaysia bukan lagi sekadar polemik agama, tetapi kini telah berkembang menjadi ancaman kompleks yang mampu menggugat kestabilan sosial dan keselamatan negara.
Taktik moden yang digunakan oleh kumpulan ini menjadikan usaha membanteras mereka semakin mencabar, kata Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Dr Mohd Aizam Mas’od.
Fenomena itu katanya dilihat semakin sukar dibendung apabila modus operandi kumpulan ajaran sesat berubah daripada pendekatan tradisional kepada strategi yang lebih licik dan berselindung di sebalik imej positif seperti perniagaan, kebajikan, serta gerakan spiritual yang kononnya menjanjikan penyelesaian segera terhadap masalah kehidupan.
Strategi ‘berselindung di sebalik kebaikan’
Mohd Aizam menjelaskan bahawa kumpulan ajaran sesat kini tidak lagi menampilkan imej ekstrem yang mudah dikenali, sebaliknya menggunakan pendekatan halus melalui platform yang lebih diterima masyarakat.
“Mereka tidak lagi datang dengan imej yang jelas menyeleweng seperti mendakwa diri sebagai ‘tuhan’ atau ‘nabi’. Sebaliknya, mereka muncul dengan janji kebahagiaan, ketenangan, dan keselamatan akhirat yang dibungkus dengan retorik kebajikan dan perniagaan,” katanya.
Beliau merujuk kepada kes Rufaqa’ Corporation yang diharamkan pada 2006, di mana syarikat itu menggunakan platform perniagaan untuk menyebarkan ideologi sesat yang diwarisi daripada kumpulan Al-Arqam.
Namun, tindakan kerajaan ketika itu disalah tafsir masyarakat sebagai menyekat usaha mencari rezeki, walhal ia bertujuan mengekang penyebaran fahaman songsang yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
“Masyarakat kurang memahami realiti ini. Apabila kumpulan ini berselindung di sebalik aktiviti kebajikan dan perniagaan, ia mencipta persepsi positif di mata awam, sedangkan di sebalik tirai itu terdapat ideologi sesat yang hanya dizahirkan dalam kalangan pengikutnya,” jelasnya.
Janji palsu dan manipulasi psikologi, golongan profesional turut jadi mangsa
Salah satu faktor yang menyumbang kepada penularan ajaran sesat adalah kemampuan mereka mengeksploitasi kelemahan spiritual dan emosi individu, termasuk golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
“Bukan isu kelulusan atau tahap profesionalisme seseorang, tetapi bagaimana ajaran sesat ini pandai mencari mangsanya. Mereka mensasarkan individu yang dalam keadaan terdesak, mencari makna hidup atau jalan pintas kepada keampunan dosa. Janji-janji seperti ‘pintu syurga segera’ atau ‘keamanan batin’ menjadi umpan yang sukar ditolak,” katanya.
Mohd Aizam memberi contoh bagaimana individu yang bergelumang dengan dosa atau berdepan krisis hidup mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang kononnya menawarkan jalan penyelesaian segera melalui ketaatan mutlak kepada ‘tok guru’ atau pemimpin kumpulan tersebut.
“Bayar sejumlah wang, lakukan ritual tertentu, semua dosa dihapuskan, syurga dijamin. Ini janji-janji kosong yang akhirnya menjerat mangsa,” katanya.
Ideologi tidak boleh dibunuh
Menurut Mohd Aizam, walaupun pihak berkuasa telah mengambil langkah pemulihan dan penguatkuasaan terhadap kumpulan ajaran sesat, usaha untuk menghapuskan ideologi mereka sepenuhnya adalah satu cabaran besar.
“Ideologi tidak boleh dibunuh. Walaupun individu yang menyebarkannya boleh diambil tindakan, fahaman mereka masih boleh hidup dalam kalangan pengikut tegar. Ini adalah cabaran sebenar yang memerlukan strategi lebih holistik,” tegasnya.
Tambahnya, kumpulan ini sering kembali dengan nama dan pendekatan baharu selepas tindakan diambil.
“Mereka seperti ‘hidup dalam bayang-bayang’ dengan memanipulasi keadaan semasa untuk terus bertahan. Contohnya, menyusup melalui tarekat-tarekat atau pertubuhan kebajikan yang nampak sah,” jelasnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.