Oleh: Nini Shahira Anuar & Fahim Akasha Musa
PETALING JAYA: Awal bulan ini, tular di media sosial apabila sebuah taman permainan interaktif air di pusat beli-belah mewah baharu di ibu negara dilaporkan mengalami kerosakan, hanya selepas seminggu ia dibuka kepada orang awam.
@irsyadsyafiq88 Pada parents yg bawak anak2 pergi ke playground TRX Mall siap2 la bwk baju spare ya 😂 #fyp #foryoupage ♬ Nikmat Bersahabat – .
Namun, di sebalik isu vandalisme tersebut, perhatian orang awam juga tertumpu kepada taman permainan yang telah dibina khusus untuk kanak-kanak dengan berkonsepkan ‘sensory play’.
Taman permainan interaktif air ini direka bertujuan untuk membantu merangsang penggunaan deria kanak-kanak yang bermain di situ.
Bagaimanapun, masih ramai yang belum tahu atau faham mengenai aktiviti ‘sensory play’.
Apakah sensory play?
Permainan sensori atau deria (sensory play) merupakan sebarang aktiviti atau permainan yang boleh merangsang deria kanak-kanak melalui lima deria utama manusia iaitu sentuhan, bau, rasa, penglihatan dan pendengaran.
Ia sering melibatkan aktiviti seperti bermain dengan barang yang mempunyai tekstur berbeza, menghasilkan karya seni dengan penggunaan warna yang pelbagai, mendengar bunyi atau muzik dan mencuba rasa baharu seperti makanan.
Apakah kepentingan sensory play kepada kanak-kanak?
Sejak dilahirkan, kanak-kanak secara semula jadi menggunakan deria untuk meneroka dunia di sekeliling mereka.
Semasa fasa tumbesaran ini juga, kanak-kanak akan banyak menghabiskan waktu mereka dengan aktiviti bermain. Ketika inilah mereka cenderung untuk menggunakan sepenuhnya deria atau sensori mereka.Â
Menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli, sensori dalam aktiviti permainan boleh merangsang perkembangan kognitif dan sosial kanak-kanak.
“Permainan sensori penting dan setiap hari, kanak-kanak bermain permainan yang menggunakan sensori mereka. Main pondok-pondok juga melibatkan sensori kanak-kanak. Semua benda di sekeliling kita melibatkan sensori sebenarnya.
“Contoh lain seperti main masak-masak, dia (kanak-kanak) pegang bekas, menyentuh bekas, mengangkat sesuatu, bermain di taman pun dikira sebagai aktiviti sensori, apa saja permainan adalah melibatkan sensori,” katanya lagi.
Tambahnya, contoh aktiviti sensori yang dapat ibu bapa sediakan untuk anak-anak adalah dengan membeli alat muzik seperti dram dan piano agar anak-anak dapat belajar untuk membezakan bunyi.
Bila waktu terbaik untuk perkenalkan sensory play?
Sejak dari lahir, kanak-kanak sudah bersedia untuk sensory play. Kanak-kanak adalah natural explorer, mereka sentiasa belajar dan menyerap apa sahaja yang berada di sekeliling mereka.
Oleh sebab itu, aktiviti sensori boleh dilaksanakan di setiap peringkat umur mengikut keperluan dan kebolehan seseorang kanak-kanak, bermula dari di rumah.
Selain gajet, mengapa kanak-kanak perlu didedahkan dengan sensory play?
Tidak dinafikan, gajet telah menjadi sebahagian daripada keperluan dalam hidup masyarakat moden kini. Namun seperti kebanyakan perkara, penggunaan gajet juga perlu ada batasnya.
Malah, kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak kecil percaya, aktiviti atau permainan realiti adalah penting untuk tumbesaran anak-anak mereka.
Hazlieda W. Mohamad Hanapi, ibu kepada Bunga Adira Mohd Ariff, 2 tahun, tidak menafikan permainan sensori memberi banyak manfaat kepada anak-anaknya, berbanding penggunaan gajet.
“Berdasarkan pemerhatian dan pembacaan saya, penggunaan gajet pada usia awal kanak-kanak lebih banyak mendatangkan keburukan seperti tantrum (buat perangai)Â berlebihan, picky eaters (memilih makanan) dan kurang respon kepada komunikasi seharian.Â
“Manakala, sensory play pula mempunyai banyak kelebihan seperti meningkatkan motor skill (kemahiran motor) halus anak-anak, membantu komunikasi dua hala dan dapat mengeratkan lagi hubungan serta memperbanyak masa bersama dengan anak-anak,” kata suri rumah itu ketika dihubungi Buletin TV3.
Tambah beliau, seawal usia dua tahun lagi, anaknya sudah dapat mengenal pasti dengan mudah jenis haiwan, huruf, warna dan nombor. Malah, anaknya juga didapati lebih cenderung dan fokus ketika bermain sensory play sambil belajar.Â
Pendapat sama diberikan oleh Aima Najwa Azmi, ibu kepada Inara Mikayla Delisha, 2 tahun, yang lebih memilih sensory play sebagai aktiviti utama anaknya.
“Untuk anak, saya hanya benarkan screen time melalui televisyen sahaja mengikut masa. Selebihnya, kami luangkan masa bersama untuk bermain permainan yang sedia ada atau yang melibatkan sensory play,” katanya ketika ditemu bual.
Beliau turut berpendapat bahawa peranan ibu bapa amat penting dalam fasa terawal tumbesaran dan perkembangan anak-anak.
“Tiga tahun pertama usia anak-anak sangat penting dalam perkembangan mereka. Jadi, ibu bapa harus mainkan peranan penting dengan melibatkan diri dalam setiap aktiviti dengan anak-anak. Luangkan masa berkualiti dengan mereka dan tanpa gangguan gajet semestinya adalah lebih baik,” katanya.
Sensory play bukan sekadar aktiviti dan permainan
Secara kesimpulannya, aktiviti sensory play bukan sahaja menyeronokkan, malah ia turut menjadi platform yang dapat membantu kanak-kanak untuk meneroka dan melakukan aktiviti permainan mereka dengan lebih baik.
Dengan menggunakan sepenuhnya deria pada tubuh badan, kanak-kanak akan secara tidak langsung dapat membina kemahiran menyelesaikan masalah, meningkatkan kemahiran komunikasi sosial dan perkembangan intelektual mereka.