comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Air pasang besar berlaku di Kuala Kedah, bekalan ikan kurang

Air memenuhi gerai makan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota pada jam 12.45 tengah hari dan surut sekitar jam 3 petang tadi.

KUALA KEDAH: Fenomena air pasang besar melanda beberapa kawasan di Kuala Kedah, hari ini.

Tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini, hari ini mendapati air laut naik sehingga paras pelantar dan memenuhi gerai makan di kawasan itu bermula jam 12.45 tengah hari dan surut sekitar jam 3 petang.

Berikutan itu, pelanggan terpaksa makan tengahari di dalam air sambil menyaksikan air pasang berlaku.

Pelanggan kedai makan, Syayani Hashim, 38, berkata, dia bersama keluarganya singgah makan di situ selepas selesai membeli ikan dan hasil tangkapan laut.

Namun katanya, tidak lama kemudian air laut naik dengan cepat dan memenuhi kawasan gerai makan itu.

“Fenomena air pasang ini kerap berlaku di sini tetapi baru pertama kali saya tengok ia berlaku depan mata dan menjadi memori indah bagi saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Peniaga ikan, Mahso Tabeemah, 54, berkata, fenomena air pasang berlaku sejak empat hari lalu menyebabkan tangkapan ikan juga berkurangan.

Mahso Tabeemah hanya mampu menjual lima kilogram ikan kembung bersaiz kecil di pelantar ikan Kampung Seberang Kota dengan harga sekilo RM10 disebabkan air pasang serta laut bergelora sejak seminggu lalu.

Katanya, harga ikan di pelantar itu tidak sama setiap hari dan naik RM10 sekilo hari ini tetapi saiznya agak yang kecil.

“Hari ini saya mampu menjual lima kilogram ikan temenung tangsi berbanding semalam tiada ikan langsung.

“Dalam minggu ini, memang tak banyak ikan diperolehi dan kalau ada tangkapan ikan pun, hanya dua atau tiga kilogram saja manakala udang pula sekitar RM38 sekilo,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mahso, keadaan laut yang bergelora serta air pasang besar menyebabkan nelayan terutama bot kecil takut untuk turun ke laut.

Katanya, dengan keadaan air pasang di kawasan itu menyebabkan orang ramai takut untuk membeli ikan di pelantar itu kerana ditenggelami air laut.

Sementara itu, tinjauan di kawasan pantai Kota Marina pula mendapati, ombak kuat menghempas batu di kawasan itu selain angin kencang dan laut bergelora.

Loading...
Terkini