comscore
Tumpuan :
Nasional

Video Agus-Wahab: Polis siasat identiti ‘Mr H’

Mohammad Agus (kiri) bersama Abdul Wahab (kanan) pada sidang media semalam. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan rakaman video tular mengenai perbualan lucah dikaitkan dengan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, polis sudah merakam keterangan  Mohammad Agus dan akan memanggil semua pihak lain yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Setakat ini polis sudah selesai mengambil keterangan Mohammad Agus semalam selepas laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

“Setakat ini masih satu laporan polis diterima mengenai kes terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Abdul Wahab mendakwa dia diarahkan seorang individu berjawatan tinggi dikenali Mr H untuk merakam satu klip video bagi memerangkap bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Abdul Wahab, 33, mendakwa Mr H pernah membuat beberapa pertemuan dengannya dan menawarkan jawatan lebih tinggi sebagai habuan.

Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM pula mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.

Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini