Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Aduan Rakyat: Premis ayam sebabkan kacau ganggu lalat disita

 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LANGAT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyita sebuah premis perusahaan reban ayam di Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat, di sini yang menjadi punca kacau ganggu lalat.

Premis terbabit juga didapati dibina tanpa mendapat kelulusan kebenaran merancang.

Yang Dipertua MPKL, Mohd Hasry Nor Mohd berkata berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Jabatan Veterinar, Ibu Pejabat Polis Kuala Langat, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Kuala Langat, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat serta Jabatan Alam Sekitar Daerah Sepang.

Hasilnya, pemilik premis dikenakan tindakan sembilan notis kesalahan dan 22 notis pemberitahuan.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti dan dikenakan notis termasuklah di bawah Seksyen 82(5), Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Kacau ganggu lalat), UUK 3 Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007, atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan berkaitan (reban ayam) tanpa lesen daripada MPKL.

“Tindakan turut diambil di bawah Seksyen 70 (13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan mendirikan struktur bangunan (Reban Ayam) tanpa kelulusan MPKL (Menjalankan Aktiviti Ladang Penternakan Ayam Tanpa Lesen).

“Kesalahan lain di bawah Seksyen 19, Akta 172 atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kelulusan kebenaran merancang selepas di dapati tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi menjalankan perusahan ternakan ladang reban ayam.

“Tindakan tegas dengan memasang tali halangan (seal) di pintu masuk terhadap tiga premis berdasarkan Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” ujarnya.

Pemilik premis turut diarah menjalankan aktiviti pembersihan dalam tempoh 21 hari dan sepanjang itu juga pengusaha ternakan tidak dibenarkan membawa masuk bekalan ayam baharu.

Tiga notis arahan di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 daripada Pejabat Kesihatan Daerah turut dikeluarkan.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor juga menolak dua daripada tujuh permohonan premis yang berada di sekitar Batu Laut di sini, termasuk premis ini, bagi memperbaharui lesen Penternakan Unggas Sesi 2025.

Pengarahnya, Dr Hassuzana Khalil berkata, ia selepas premis berkenaan gagal mematuhi beberapa syarat permohonan, selain dikesan menjadi antara punca kacau ganggu lalat di sekitar lokasi aduan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini