Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Aduan Rakyat: Penduduk bimbang ban pecah lagi, gesa baiki segera


Oleh: Fatin Hanani

KAJANG: Hampir seribu penduduk Taman Sri Langat, Kajang, Selangor, menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan ban di tebing Sungai Langat yang didakwa tidak mampu menampung limpahan air, terutama ketika musim tengkujuh.

Walaupun kerja baik pulih telah dilakukan selepas banjir besar dua tahun lalu, penduduk mendakwa struktur ban yang diperbaiki itu masih tidak kukuh. Ban tersebut pernah pecah akibat banjir teruk pada 2022, menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

 

Penduduk juga mendakwa banjir yang berlaku berpunca daripada struktur ban yang rendah dan tidak mampu menghalang limpahan air sungai, selain hujan lebat.

Sebagai langkah mitigasi, penduduk mengeluarkan perbelanjaan sendiri sebanyak RM80,000 untuk membina rumah pam bagi mengawal banjir daripada berulang.

Menurut mereka, struktur ban yang rosak dan terhakis memerlukan perhatian segera daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menilai tahap kekuatan dan keselamatannya.

Keadaan ban di tebing Sungai Langat yang didakwa tidak mampu menampung limpahan air, terutama ketika musim tengkujuh.

Pada 8 Mei lalu, kediaman penduduk dilaporkan dinaiki air pada jam 6.30 petang, berpunca daripada keadaan longkang monsun yang tidak mampu menampung aliran air hujan.

Susulan kejadian itu, pihak berwajib telah menjalankan kerja mendalamkan sungai sebagai langkah pencegahan.

Namun, penduduk turut mengambil inisiatif dengan mengeluarkan kos dan tenaga untuk memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta siren amaran di kawasan mereka.

Seorang wakil penduduk, Mohd Sobri Taib berkata, sebanyak tiga CCTV dan empat siren amaran telah dipasang di beberapa lokasi strategik untuk memantau keadaan sekitar.

“Duit itu kita buat rumah pam, dan kita beli dua kali pam untuk menyelamatkan taman. Untuk CCTV, saya ada AJK yang beri sumbangan untuk monitor longkang monsun,” katanya kepada kru Aduan Rakyat.

Tambahnya, mereka turut membangunkan satu sistem sensor dengan kos serendah RM250 untuk meningkatkan keselamatan.

“Jadi sampai bila saya nak monitor dengan CCTV? Jadi saya buat satu sensor. Sensor ini saya buat dengan dana tak banyak, tetapi dengan nilai harga RM250 sahaja,” ujar Sobri lagi.

Dalam pada itu, banjir turut menghantui pusat tahfiz dan rumah jagaan warga emas.
Kejadian pada Mei lalu, menyebabkan rumah jagaan warga emas di kawasan itu rosak teruk.

“Habis barang kami semuanya rosak, peti sejuk jatuh dan susah kami nak bawa keluar mereka, bukan senang sebab semuanya (penghuni) tidak boleh jalan OKU, lagipun kali ini kami tidak dapat bantuan, bantuan kami ditolak,” ujar penyelia pusat jagaan warga emas, K. Amutha.

Menurut mereka, pelbagai laporan telah dibuat, namun bantuan yang diterima hanya RM250 bagi setiap isi rumah.

“Sekarang ini RM250 tetapi kami tunggu daripada bulan lima sampai sekarang masih belum dapat lagi (bantuan) ada separuh yang dah dapat mengatakan RM250, RM250 boleh buat apa? Bayar bil api dan air pun tidak cukup sebab banjir banyak menggunakan elektrik air untuk pembersihan,” kata penduduk, Norhasimah Husain.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, David Cheong

Isu berbangkit itu kami panjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, David Cheong.

Laporan JPS mendapati ban berkenaan tidak mempunyai sebarang tanda hakisan dan diyakini selamat.

JPS juga dilaporkan memasang CCTV di sekitar ban untuk pemantauan setiap hari.

Manakala, langkah pencegahan dan pengurangan risiko banjir sedang dilaksanakan.

Ia susulan peruntukan lebih RM500 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan akan digunakan untuk membina ban serta melaksanakan projek mendalamkan Sungai Langat fasa dua.

“Kalau tidak silap bulan ini atau depan mereka akan panggil tender dan consultant, bila consultant ada dia akan merangka sepanjang Sungai Langat fasa dua dengan rangka ban, ban konkrit dan sebagainya,” ujar David.

Mengenai isu bantuan, ujarnya peruntukan dalam Tabung Bencana Hulu Langat digunakan sepenuhnya.

Pihak Pejabat Tanah Daerah juga membuat permohonan untuk menggunakan tabung khas daripada kerajaan Negeri Selangor bagi tambahan dana.

Pihaknya turut mengemukakan surat makluman untuk menyegerakan tindakan kepada Pegawai Daerah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini