Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Koordinasi setiap minggu diadakan melibatkan Menteri dalam kalangan UMNO sebagai usaha memastikan prestasi mereka dalam kedudukan yang terbaik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu juga bagi memastikan gerak kerja mereka selari dengan agenda yang dibawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya lakukan koordinasi setiap minggu dan mereka datang ke pejabat TPM dan sebanyak mungkin kita bincangkan (perihal kerajaan).
“Tujuan (koordinasi) supaya kita lontarkan pandangan dengan satu pendirian dan kita tidak pernah lakukan campur tangan dalam mana-mana kerja menteri tetapi koordinasi ini bagi menentukan kita tidak bercanggah dalam kenyataan atau keputusan ketika mesyuarat kabinet.
Ditanya mengenai prestasi keseluruhan tujuh menteri dibawah UMNO-BN, beliau yang juga selaku Presiden UMNO itu secara peribadinya berpuas hati dengan prestasi kesemua menteri berkenaan.
“Setakat ini, tujuh menteri yang mewakili UMNO dan BN prestasinya tidak adil untuk saya menilai tetapi masyarakat dan orang ramai boleh menilai mereka.
“Secara peribadi, saya berpuas hati dengan prestasi menteri yang mewakili UMNO dan BN,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.