Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan wujud golongan masyarakat yang bersimpati dengan pempengaruh yang ditahan atas jenayah yang dilakukan mereka.
Jelasnya, lebih mengejutkan sokongan diterima terhadap pempengaruh itu meskipun tindakannya bukan hanya melanggar undang-undang di negara ini, malah melibatkan nilai moral.
“Ada influencer di Malaysia menunjukkan nilai-nilai dari sudut moral perlu dipertikaikan, tetapi adakah masyarakat mempertikaikan atau seronok melayarinya.
“Contoh hot daddy, bila kita tangkap orang kutuk dia, tetapi apabila perbicaraan netizen mula simpati dengan dia. Evolusi pemikiran ini jelas menunjukkan (masyarakat) boleh dipengaruhi menerusi telefon pintar,” jelasnya.
Bagaimanapun jelas Mohd Shuhaily, sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab melindungi keselamatan masyarakat, semua itu ibarat ‘alah bisa tegal biasa’ buat setiap anggota JSJ di seluruh negara.
“Banyak kes berprofil tinggi diselesaikan mereka dengan penuh dedikasi minat, pengorbanan mereka (anggota JSJ). Banyak kes yang mana ‘pure detective work’ menerusi hasil penelitian laporan, semakan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan banyak lagi.
“Orang senang je cakap semakan CCTV, kalau kes itu dah seminggu lalu, berapa panjang rel nak tengok. Tetapi apa pun kekuatan setiap anggota itu kekal tinggi atas taat setia kerja, itu yang membawa kejayaan dalam pasukan PDRM dan JSJ khususnya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Podcast Utama Off-air Buletin TV3 yang disiarkan hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.