TUARAN: Acara lari berganti-ganti 2×50 meter (m) disertai pelbagai maskot dalam kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Zon Nabalu, baru-baru ini mencuri perhatian netizen dengan aksi lucu pelari dan suara seorang wanita seperti Nobita.
Video memaparkan lapan peserta acara itu terdiri daripada murid daripada sekolah sekitar Tuaran, di sini, menyertai pertandingan lumba lari dengan memakai maskot kartun seperti Sonic the Hedgehog, Doraemon, beruang, dinasour dan katak itu tular di media sosial.
Malah, netizen turut terhibur dengan suara latar di sebalik rakaman video itu yang memberi sokongan kepada peserta apabila dikatakan seperti suara Nobita, watak dalam siri kartun Jepun, Doraemon.
@ohmedia Cepat doraemon sikit lagi! #ohmedia #sembangentertainment ♬ original sound – Oh! Media
Berkongsi cerita, Esterlita Julit, 42, individu yang merakam dan berkongsi video itu berkata, larian terbabit adalah acara selingan yang dilakukan secara spontan pada hari terakhir kejohanan pada 1 Februari lalu.
Menurutnya, kejohanan tahunan itu dianjurkan selama dua hari di Kompleks Sukan Ranau bermula 31 Januari lalu dan sekolahnya di Tamparuli, antara 10 sekolah rendah yang terbabit.
“Pertandingan itu adalah idea spontan penganjur dan kami bersetuju ia dilakukan sementara menunggu majlis penyampaian hadiah. Acara itu dilakukan secara suka-suka saja dan jarak juga tak jauh.
“Semua peserta adalah murid yang menyertai kejohanan itu dan menerima hadiah sempena acara terbabit biarpun ia bukan acara yang dipertandingkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.
Guru penolong kanan kokurikulum merangkap pengurus pasukan sekolahnya berkata, mereka teruja melihat acara larian maskot itu dan bersorak memberi sokongan kepada peserta sambil masing-masing merakam video kenangan.
“Ketika itu saya sakit tekak sedikit tetapi tetap mahu memberi sokongan kepada murid dan tak sangka pula video dikongsikan di TikTok akan tular sehingga dikongsikan di Facebook, malah ramai netizen mengatakan suara saya seperti Nobita.
“Saya berulang kali mendengar suara sendiri dalam video itu dan memang ada sedikit persamaan mungkin kerana ketika itu tekak saya sedang sakit dan sebab itu suara agak lain, malah kedengaran seperti suara Nobita tetapi sebenarnya tidak.
“Saya terhibur juga tetapi tidak marah netizen cakap begitu sebab bagi saya, ia memang melucukan dan saya rakam video hanya untuk suka-suka sebagai kenangan tetapi tidak menyangka akan mendapat perhatian ramai,” katanya mengakui murid juga gembira menyertai acara spontan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.