Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 375 cerucuk besi ditanam di lokasi tanah runtuh 

PUCHONG: Sebanyak 375 cerucuk besi akan ditanam untuk menghentikan pergerakan tanah yang berlaku di lokasi tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kerja pemasangan oleh kontraktor dilantik dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.

“Berdasarkan laporan dalam mesyuarat bersama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), langkah awal dilakukan adalah memasang cerucuk besi di kawasan runtuhan.

“Untuk proses mitigasi, pihak MBSJ akan menanam 375 cerucuk keluli di 150 meter kawasan kejadian.

“Kerja-kerja mitigasi telah bermula sejak jam 4 pagi tadi,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Buat masa ini, kesemua penghuni rumah yang terjejas telah mengosongkan kediaman masing-masing sementara kerja penyelenggaraan selesai dan laporan penuh oleh pihak berkaitan diperoleh.

Tindakan lain ujarnya adalah JPS menutup bekalan air sementara berikutan terdapat paip pecah akibat pergerakan tanah itu.

Manakala, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan elektrik.

Anbalagan berkata, setakat ini kawasan yang terjejas hanya deretan rumah di hadapan tanah runtuh manakala rumah lain masih selamat.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada laporan daripada pihak JMG.

Polis akan memastikan keselamatan rumah yang dikosongkan sepanjang kerja penyelenggaraan dijalankan bagi mengelak berlaku kejadian jenayah.

“Jika ada pemilik rumah yang mahu mengambil dokumen peribadi dan sebagainya perlu berhubung dengan pegawai polis yang berada di Pos Kawalan Tempat Kejadian terlebih dulu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk sekitar untuk tidak berada di kawasan kejadian atas faktor keselamatan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini