KUALA LUMPUR: Kesemua 30 rakyat Malaysia dari Sudan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Mereka yang terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira 2.54 petang melalui penerbangan Saudi Arabian Airlines SV834 dari Jeddah.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin turut hadir menyambut ketibaan mereka di lapangan terbang itu.
Rakyat Malaysia itu adalah antara 194 rakyat pelbagai negara yang selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal pada kira-kira 1.54 pagi waktu Malaysia semalam, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha setelah menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dari Port Sudan.
Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lepas.
Pada 25 April lepas, dilaporkan 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, selamat tiba di Port Sudan pada 2.07 petang Isnin waktu Sudan (8.07 malam waktu Malaysia) setelah melalui perjalanan 30 jam menempuh jarak 1,233 kilometer.
Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat kerajaan Arab Saudi atas bantuan dan layanan yang baik diterima sepanjang operasi ini berlangsung dengan jayanya.