Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA KUBU BHARU: Hanya tiga hari. Itu masa yang diperlukan 30 penuntut pengajian Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang secara sukarela membina sebuah rumah di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Projek itu dilakukan bagi membantu keluarga Orang Asli yang sebelum ini tinggal di sebuah rumah usang.
Menurut penasihat program, Ts Dr Yazmin Sahol Hamid, program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM).
“Projek ini merupakan satu inisiatif yang mana kita mengintegrasikan akademik dengan program khidmat masyarakat. Ia sekali gus meningkatkan keprihatinan mereka terhadap tanggungjawab sosial selain dapat memupuk hubungan erat antara universiti, pelajar, komuniti dan organisasi luar.
“Menerusi SULAM, mereka kena pilih satu projek yang mana mereka boleh menyumbang balik kepada komuniti dengan syarat, mereka harus adakan sesi berkongsi maklumat kepada komuniti tersebut. Jadi, di sini keluarga itu
akan turut serta juga dalam membantu menyiapkan rumah ini,” katanya.
Menurutnya, jika sebelum ini Das sekeluarga terpaksa bersesak dalam rumah yang rosak yang diperbuat daripada bahan sementara.
Kini rumah baharu berkeluasan 20×20 kaki persegi itu diharap memberi sinar baharu untuk keluarga yang terdiri isterinya Beriah, tiga anak mereka, dan ibunya, Nait
Pengarah Program, Ahmad Farhan Mohd Faizam, 23, berkata, projek selama tiga hari itu berjalan lancar dengan kerjasama yang diberikan semua.
“Selama tiga hari ini berjalan dengan sangat lancar. Cuma masalahnya dari segi cuaca. Dua hari panas, dan hari terakhir hujan. Tapi Alhamdulillah, dapat siap rumah itu dalam jangka masa yang kita tetapkan.”
Bagi peserta, Muhammad Syamir Mohd Zahid, 24, dia mengakui projek itu bukan sahaja membantu mendapatkan latihan amali malah mampu membentuk sifat insaniah.
“Sebenarnya saya tergerak hati nak sertai program sukarelawan ini sebab sejujurnya, kita hanya belajar teori sahaja. Tapi kita tak terapkan secara amali. Jadi bila ada peluang macam ini, saya rasa ia satu peluang yang besar untuk kami semua.
“Alhamdulillah, semua pun gembira, teruja dan semua beri kerjasama sangat baik untuk capai misi ini.” ujarnya.
Bagi Nur Yasmin Qashrina Suzaini, 23 pula, walaupun pelbagai cabaran ditempuh namun beliau berasa puas dapat membantu mereka yang memerlukan.
“Saya sangat teruja, sebab ini kali pertama saya sertai aktiviti kesukarelawanan seperti ini.
“Apa yang penting, kita kena bersedia mental dan fizikal. Lebih-lebih lagi melibatkan pembinaan seperti ini, sebagai wanita kena kuat sebenarnya. Sudah tentu, kita buat kesilapan, kena marah, tapi itu yang buat kita belajar dan perbaiki.” katanya.
Rumah berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh 72 jam selepas projek pembinaannya dimulakan 6 Disember lalu.
Malah sesi penyerahan kunci juga diadakan sebagai simbolik permulaan kehidupan keluarga itu di kediaman baharu mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.