comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 1KG dapat RM1, bakar semangat buru ikan bandaraya

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

BANGI: Bukan sahaja mampu menyelamatkan ekosistem sungai malah mampu menjadi sumber pendapatan tambahan.

Itu pendapat orang ramai mengenai keputusan kerajaan Negeri Selangor yang menawarkan insentif RM1 bagi satu kilogram ikan bandaraya yang ditangkap di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat sepanjang bulan ini.

Program yang diadakan pada setiap hujung minggu sepanjang bulan September itu bertujuan mengurangkan populasi ikan Pleco atau lebih dikenali sebagai ikan bandaraya yang merupakan antara punca berlakunya runtuhan tebing sungai dan ban.

Mohd Nur Badri Mat Sidik

Menurut Presiden Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Mohd Nur Badri Mat Sidik inisiatif yang dilakukan itu wajar bagi mengelakkan ikan bandaraya terus mendominasi sungai dalam negara.

“Ikan ini bukan berasal dari Malaysia, tetapi dari Sungai Amazon. Dah masuk dalam sungai kita, dia kuasai pula sungai kita sekaligus menyebabkan ikan-ikan tempatan pupus. Bagaimana dia buat ikan ini pupus? Dia tak makan, tapi dia hapuskan habitat mereka. Mereka juga hancurkan tebing sungai.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Buletin TV3 (@buletintv3)


“Banyak tebing-tebing sungai dekat Malaysia ini dah runtuh sebab mereka ni dah buat sarang. Ikan bandaraya ini kalau buat sarang, dia akan buat lubang dan lubang dia boleh capai kedalaman 2 meter dan sangat besar.

“Jadi bayangkan, seekor ikan akan buat satu lubang, kalau ada 1000 ikan, akan ada 100 lubang. Mestilah runtuh tebing.”

Muhammad Khairil Aswad Jangga

Senada dengan itu, seorang lagi pemburu ikan bandaraya, Muhammad Khairil Aswad Jangga.

“Ini satu langkah yang amat bagus untuk kita kurangkan populasi ikan ini di Selangor. Kita kena kurangkan kerana spesis ini lebih cepat membiak dari ikan lokal yang lain.”

“Dengan adanya insentif ini, barulah banyak pihak lebih bersemangat nak buru ikan ini” katanya.

Megat Mohd Kushairi Azhar

Bagi seorang pelajar, Megat Mohd Kushairi Azhar dia yang menyertai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) universitinya itu mengakui, kesempatan itu digunakan bagi menambah pendapatannya.

“Datang untuk belajar seperkara dua mengenai ikan ini, tapi tak sangkalah dapat saya tambah duit poket. Ia boleh jana pendapatan tambahan juga untuk semua.”

Muhd Fauzi Alham

Tidak melepaskan peluang itu, Muhd Fauzi Alham.

Walaupun kini usianya mencecah 76 tahun, namun beliau sanggup menunggang motosikal dari Ampang ke Bangi demi memburu spesis invasif berkenaan.

Dia yang baru sahaja pulih dari Leptospirosis atau penyakit kencing tikus memberitahu yang dia tidak serik untuk kembali memburu haiwan itu.

“Sekurang-kurangnya kita dapatlah basmi ikan ini membiak dan dapat pastikan ikan tempatan terus berkembang.

“Kalau tidak, bila pancing ke menjala ke akan dapat ikan bandaraya ini. Tak mahu lah.”

Hasil tinjauan pada acara itu siang tadi mendapati, peserta tiba seawal jam 7 pagi lagi.

Ada yang datang berseorangan, malah ada yang datang secara berkumpulan.

Mereka menggunakan alatan seperti joran, jala dan pukat bagi menangkap ikan itu dengan jumlah yang banyak.

Selepas membawa naik ikan-ikan yang ditangkap, mereka perlu menimbang terlebih dahulu ikan-ikan itu di penimbang yang disediakan.

Kemudian, mereka akan meletakkan ikan-ikan itu di dalam tong yang disediakan, sebelum ikan-ikan itu akan di bawa ke satu tempat untuk dijadikan baja atau makanan haiwan lain dalam bentuk palet.

Dalam program siang tadi, seramai 25 individu mengambil bahagian termasuk komuniti pemburu ikan berkenaan dengan jumlah keseluruhan tangkapan sebanyak 519kg.

1 September lalu, Kerajaan Negeri Selangor menerusi Exco Insfrastruktur dan Pertanian menyasarkan 50,000 kilogram (kg) atau 50 tan tangkapan ikan bandaraya (Pleco) di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat sepanjang bulan ini.

Exco Pertanian Ir Izham Hashim berkata, menerusi program itu kerajaan negeri turut menyediakan insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan.

Menurutnya, insentif tangkapan itu sebagai langkah mengurangkan populasi ikan bandaraya yang menjadi antara penyebab runtuhan tebing sungai dan ban.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini