Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 15 kampung di pedalaman Sook terima manfaat naik taraf jalan raya


Oleh: Safwan Sawi

SOOK: Jalan ke bulan dan bintang itu satira acap kali didengar setiap kali membabitkan masalah jalan raya di Sabah.

Kehadiran murid ke sekolah tergendala begitu juga ke tempat kerja, antara keluhan lebih 3,000 penduduk luar bandar Sook berhubung masalah jalan raya yang sehingga kini tiada berkesudahan.

Lebih teruk mereka sering berdepan masalah kerosakan setiap kali tibanya musim tengkujuh sehingga menjejaskan aktiviti kehidupan harian mereka.

Jangankan di sekitar bandar apa lagi nun jauh di pedalaman yang terus mendambakan kemajuan prasarana itu sejak merdeka lagi.

Godius Kiri, Pekebun

“Kadang-kadang itu jambatan cuaca tidak menentu kami terpaksa berpatah balik pergi Keningau sebab tidak bulih limpas banjir jadi sekarang kalau itu jambatan dia bertambah tinggi mungkin bulilah,” kata Godius Kiri, salah seorang penduduk ketika ditemui Buletin TV3.

“Kepayahan ini dulu apabila hujan banyak tergendalalah penggunaan jalan hantar budak sekolah sangkut masa sampai tidak dapat ke sekolah terpaksa balik tidak sekolah terpaksa balik,” kata Micheal Lationg seorang lagi penduduk yang ditemui di sini.

Kini keluhan mereka akhirnya menemui titik penyelesaian menerusi projek naiktaraf jalan raya yang dijadual siap pada 2027 menerusi Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurutnya, pelaksanaan projek menaiktaraf ini mencerminkan manifestasi Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada aspek keterangkuman, kemampanan dan keadilan sosial terutamanya dalam menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur.

“Saya tidak mahu dengar lagi cerita guru seperti tidak sampai ke sekolah, orang sakit tidak sampai ke hospital. Itulah keutamaan saya sebagai wakil rakyat menaik taraf jalan utama,” katanya ketika ditemui di sini.

Projek sejauh 22.85 kilometer (km) merangkumi pembinaan tiga buah jambatan konkrit baharu selain menaiktaraf sistem peparitan untuk mengalirkan air larian permukaan yang sering kali menyebabkan berlakunya banjir di sepanjang jajaran berkenaan.

Pelaksanaan projek akan mengambil masa selama tiga tahun dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2027.

Sebanyak 15 kampung dan seramai lebih kurang 3,000 penduduk sekitar akan menerima manfaat daripada pembinaan jalan terbabit.

“Dengan pembinaan projek ini, ianya akan dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan lebih selamat selain mampu menjana peningkatan ekonomi setempat.

“Selain memberi manfaat kepada penduduk kampung sekitar untuk mengangkut hasil-hasil tanaman serta memberi kemudahan perjalanan kepada penduduk kampung” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini