comscore
Tumpuan :
Nasional

Vicente anggap keputusan baik, HM mampu bersaing pada kelayakan Piala Asia 2027

Aksi pemain negara pada perlawanan persahabatan menentang India malam tadi.

KUALA LUMPUR: Aksi menentang India yang berakhir dengan 1-1 di Stadium Gachibowli, Hyderabad semalam memberi sedikit gambaran terhadap cabaran yang bakal dihadapi skuad Harimau Malaya pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual, Mac depan.

Sebagai rekod, India berpotensi menjadi lawan negara pada pusingan kelayakan itu memandangkan India dijangka berada dalam ‘Balang 1’ manakala Malaysia dijangka kekal dalam ‘Balang 2’ bagi undian untuk pusingan kelayakan itu nanti.

Selain India, lima lagi pasukan yang bakal berada dalam ‘Balang 1’ adalah Syria, Tajikistan, Lubnan serta dua seteru ASEAN membabitkan Thailand dan juga Vietnam.

Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente mengakui keputusan seri itu sebagai keputusan yang adil dan memberi petanda mereka mampu memberi saingan namun masih banyak penambahbaikan perlu dibuat bagi menghadapi pusingan kelayakan itu.

Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente

“Saya rasa ini satu keputusan yang baik apabila beraksi di tempat lawan. Sudah tentu kami mahu menang setiap perlawanan tetapi apabila tiba kelayakan itu nanti, kita boleh memberi saingan di peringkat seperti ini.

“Mungkin dengan sedikit tuah dan ketepatan, kita boleh meraih keputusan positif. Kita pun beruntung kerana ada Piala AFF pada bulan depan, jadi kita akan lebih bersedia untuk perlawanan,” kata Vicente.

Terdahulu, pertembungan di Stadium Gachibowli menyaksikan skuad negara mendahului pada minit ke-19 menerusi Paulo Josue yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu.

Bagaimanapun, pasukan di ranking ke-125 dunia itu berjaya mengikat kedudukan menerusi tandukan Rahul Bheke bermula daripada sepakan sudut Brandon Fernandes pada minit ke-39.

Mengulas aksi berdepan India, Vicente menyifatkan anak buahnya sedikit bergelut untuk mendapatkan rentak selain ketumpulan penyudah memaksa mereka berpuas hati dengan keputusan seri itu.

“Ini perlawanan yang sengit tetapi secara keseluruhan, ini satu perlawanan yang baik. Cuma kita terlepas beberapa peluang (untuk mendapatkan jaringan).

“Perkara ini mengecewakan kita tetapi apapun, kita gembira dengan perlawanan ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini