comscore
Tumpuan :
Nasional

Veteran tentera diminta sebar peranan JHEV ATM

IPOH: Veteran tentera perlu membantu menyebarluaskan peranan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) yang sentiasa cakna dan responsif dalam membantu golongan tersebut.

Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jen Zambery Jefry Darus berkata bagi mencapai inisiatif itu, pihaknya mempunyai pelbagai skim bantuan antaranya Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Peralatan Pesakit dan Skim Bantuan Bencana Alam.

“Skim Bantuan Kebajikan JHEV diwujudkan bertujuan meringankan beban tanggungan sara hidup Veteran ATM serta keluarga berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

“Orang ramai perlu mengetahui dan membaca portal rasmi JHEV ATM dan saluran media sosial Facebook, Twitter dan Instagram termasuklah peranan Persatuan Veteran di setiap negeri dalam mendekati golongan tersebut dan menyebarkan kelebihan yang boleh dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kebajikan ke rumah veteran Chan Tak Wee, 75, sempena Program Cakna Veteran di kediamannya di Bandar Baru Tambun di sini hari ini.

Zambery Jefry berkata sehingga November, lebih RM398,000 telah diperuntukkan kepada 472 penerima yang berkelayakan menerima pelbagai bantuan peralatan pesakit menerusi JHEV ATM.

“JHEV ATM sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayaan golongan tersebut ke tahap yang lebih kompetitif agar kualiti hidup mereka bertambah baik.

“Program ini masih diteruskan di seluruh negara dengan sasaran sekurang-kurangnya sebanyak 800 program dilaksanakan setiap tahun agar mereka dapat menikmati perkhidmatan dan insentif yang disediakan oleh JHEV ATM,” tambahnya.-BERNAMA

Loading...
Terkini