KULIM: Pemandu van sekolah meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum kenderaan dinaikinya terbabas di Jalan Selasih 5, Taman Selasih di sini, semalam.
Dalam kejadian pada 5.55 petang itu, lelaki warga emas berusia 70 tahun terbabit dalam perjalanan menghantar murid Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) pulang ke rumah masing-masing.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, siasatan mendapati ketika kejadian ada empat murid KAFA dalam van sekolah berkenaan.
“Bagaimanapun semua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diambil keluarga masing-masing sejurus kejadian.
“Hasil siasatan juga mendapati mangsa gagal mengawal kenderaan dengan baik sebelum ia terbabas ke kanan jalan dan melanggar papan tanda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemandu van disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan ischaemic heart disease (penyakit jantung iskemik).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.