comscore
Tumpuan :
Nasional

Vaksin Tdap selamat untuk ibu mengandung, anak

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan penularan jangkitan pertussis atau batuk kokol dilaporkan meningkat di mana sebanyak 329 kes dengan 23 kematian dilaporkan di seluruh Malaysia sehingga 19 Ogos 2023. (1)

Pertussis adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria pertussis (Bordetella pertussis) yang menjangkiti kerongkong dan seterusnya melibatkan saluran pernafasan.

Menurut Pakar perubatan kesihatan awam KKM, Dr Wan Abdul Hannan Wan Ibadullah, bayi berusia kurang enam bulan berisiko tinggi dijangkiti batuk kokol memandangkan tahap imuniti kumpulan itu masih belum matang.

“Jangkitan terhadap bayi ini boleh menyebabkan komplikasi buruk, termasuk sawan dan kematian. Oleh itu, komplikasi-komplikasi seperti ini yang kita perlu elak daripada terjadi,” katanya.

Pada peringkat awal, gejala yang ditunjukkan sama seperti demam selsema termasuk hidung berair, hidung tersumbat dengan lendir, mata merah dan berair, demam serta batuk.

Berbeza dengan demam selsema, pesakit pertussis akan mengalami kesukaran bernafas sehingga mengeluarkan bunyi kokol apabila tercungap-cungap selepas batuk terutama bayi dan kanak-kanak berusia kurang lima tahun.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata jangkitan pertussis sentiasa ada dalam negara dan ia telah diklasifikasikan sebagai endemik.

Hal ini berikutan tiga kes pertussis dilaporkan di Rompin, Pahang membabitkan seorang ibu dan dua anaknya yang berlaku baru-baru ini.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pesakit terbabit sudah diberikan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

Pencegahan melalui vaksin

Sebagai langkah pencegahan awal, KKM akan berikan vaksin Tdap secara percuma kepada rakyat termasuk bukan warganegara, bermula tahun depan, melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta bagi membantu melindungi bayi seawal dalam kandungan.

Pelaksanaan pemberian vaksin Tdap bukan sahaja langkah proaktif untuk melindungi ibu dan bayi tetapi sebagai pengukuhan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan keluarga dan masyarakat Malaysia.

Dr Zaliha berkata vaksinasi adalah kaedah pencegahan pertusis yang berkesan, dan di Malaysia, bayi diberi vaksin pertusis pada usia dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.

“Wabak pertusis dalam masyarakat boleh dicegah dengan memastikan perlindungan imunisasi pertusis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa,” katanya.

Vaksin Tdap akan diberikan secara percuma di Malaysia termasuk bukan warganegara, bermula tahun depan, melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta.

Langkah ini sangat penting bagi mengurangkan risiko penyakit cegahan vaksin dalam kalangan bayi baru lahir dan akan meningkatkan kesihatan kanak-kanak di Malaysia secara menyeluruh.

Kurang kesedaran mengenai vaksin Tdap


Di Malaysia kadar kesedaran mengenai vaksin ini masih lagi rendah memandangkan ramai ibu hamil yang ragu dan bimbang isu keselamatan dan kekangan kewangan.

Justeru itu, Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia (PKAM), Dr Zainal Ariffin menasihati ibu hamil tidak perlu bimbang untuk mendapat vaksin Tdap kerana sebarang vaksin yang diluluskan kegunaannya sudah melepasi kajian dan mempunyai peratus keberkesanan yang tinggi.

Bahkan, beliau berkata pemberian vaksin ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) itu, tidak mendatangkan kesan sampingan kepada kandungan selain kesan sampingan ringan yang biasa dialami selepas vaksin seperti demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan.

“Ibu hamil harus faham bahawa vaksin ini sebagai perlindungan kepada anak yang dianggap lebih baik dan kosnya lebih rendah, berbanding rawatan sekiranya anak mereka dijangkiti penyakit pertussis,” katanya.

Justeru, KKM disaran supaya mengekalkan momentum dalam mengukuhkan strategi imunisasi ibu hamil di negara ini manakala komuniti kesihatan awam terus berusaha mengutamakan kesihatan bayi baru lahir, yang akhirnya membawa Malaysia lebih dekat dalam mencapai sasaran SDG pada 2030.
Untuk maklumat lanjut, klik di sini.

Sumber rujukan

1.https://www.facebook.com/photo?fbid=690624766432863&set=pcb.690624819766191
2.https://ova.galencentre.org/survey-shows-malaysian-pregnant-women-unaware-of-tdap-flu-jabs/
3. http://www.myhealth.gov.my/att-vaksin/
4.https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1143684/kkm-siasat-punca-tiga-sekeluarga-dijangkiti-batuk-kokol
5.https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1096671/kkm-kaji-beri-vaksin-kombinasi-tdap-kepada-ibu-hamil-kekang-batuk
6.https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/09/1147674/perkasa-program-imunisasi-ibu-hamil-elak-penyakit-berjangkit
7.https://www.thestar.com.my/news/nation/2023/08/25/get-vaccinated-for-whooping-cough-say-experts

Loading...
Terkini