comscore
Tumpuan :
Nasional

Vaksin Tdap selamat, manfaat pada ibu dan bayi

Ibu hamil perlu menerima vaksinasi Tdap untuk melindungi bayi bermula dari dalam kandungan. – FOTO Hiasan

SEMASA mengandung, ibu hamil mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat infeksi penyakit yang berbahaya sekali gus memberi ancaman kepada bayi dalam kandungan.

Disebabkan penggunaan antibiotik dan ubatan topikal tidak digalakkan, pemberian vaksin adalah salah satu langkah yang efisien bagi membantu mewujudkan sistem ketahanan kepada ibu dan bayi.

Menurut Perunding Perubatan Fetomaternal, Jabatan Obstetrik & Ginekologi Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam, Prof Dr Jamiyah Hassan berkata, bayi berusia kurang enam bulan berisiko tinggi dijangkiti batuk kokol atau pertussis memandangkan tahap imuniti kumpulan itu masih belum matang.

Berdasarkan kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga sehingga 23 Ogos 2023 sebanyak 343 kes Pertussis dengan 24 kematian telah dilaporkan di seluruh Malaysia1.

Daripada 343 kes pertussis yang dilaporkan, 173 kes (50.4 peratus) merupakan bayi berumur bawah lima bulan.

Laporan sama turut mencatatkan 24 kematian dan 19 dari kematian berlaku merupakan bayi  berumur bawah lima bulan.

Bahaya batuk kokol 

Pertussis atau batuk kokol adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis.

Bakteria ini menjangkiti melalui mulut, hidung dan tekak serta  tersebar melalui udara semasa individu berjangkit bersin atau batuk.

Ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia, namun bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Gejala lazim pertussis adalah batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu dan  boleh berlarutan sehingga dua bulan.

Batuk yang teruk dan berpanjangan ini boleh menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas dan kekurangan oksigen dan seterusnya boleh mengakibatkan sawan.

Komplikasi teruk seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian juga boleh berlaku jika tidak mendapat rawatan awal.

Vaksin intervensi awal buat ibu-anak

Walau bagaimanapun, ia menjadi cabaran untuk bayi berumur kurang daripada tiga bulan untuk menerima vaksinasi penyakit berjangkit seperti pertussis yang boleh menyebabkan komplikasi buruk, termasuk sawan dan kematian.

Jika sebelum ini hanya vaksinasi Tetanus Toxoid (TT) sahaja diberikan kepada ibu hamil sebagai perlindungan awal.

Menerusi kenyataan media, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM telah bersetuju untuk  memperkenalkan inisiatif baharu pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria-pertussis (Tdap) kepada semua ibu hamil di Malaysia.

Katanya, pemberian vaksin ini akan bermula sebaik sahaja bekalan vaksin Tdap tersedia di kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.

“Semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara,” tambahnya.

Oleh itu, imunisasi ibu adalah salah satu penyelesaian yang paling berkesan kerana pendekatan ini diamalkan secara meluas di banyak negara maju dan terbukti sebagai satu kaedah untuk mencegah penyakit2.

Tambahnya, pelbagai kajian menunjukkan bahawa imuniti pasif daripada imunisasi ibu mempunyai kesan yang paling tinggi dalam mencegah pertussis  pada bayi baru lahir.

Inisiatif ini bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis, terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

Melalui Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) vaksin pertussis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan yang  diberikan dalam bentuk vaksinasi kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b secara percuma3.

Oleh itu, pakar menyarankan bagi mencegah jangkitan, ibu hamil perlu menerima vaksinasi Tdap (Tetanus-Difteria-Pertussis) kerana ia dapat melindungi bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti ditetapkan dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan4.

Pemberian vaksin semasa mengandung kepada ibu hamil boleh memberi dua manfaat iaitu meningkatkan imuniti sendiri dan menyediakan perlindungan penting untuk anak dalam kandungannya.

Antibodi yang dibangunkan dalam badan ibu dihantar kepada bayi melalui plasenta, memberikan perlindungan penting pada masa kelahiran sehingga bayi dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan.

Cegah risiko jangka panjang pertussis

Program Perluasan Imunisasi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada mulanya telah berjaya mengurangkan kes pertussis global5.

Tetapi penyakit pertussis muncul semula akibat penurunan imuniti kelompok dan penolakan atau penangguhan vaksin.

Berdasarkan laporan, Asia Selatan dan Tenggara mempunyai beban pertussis neonatal yang tinggi, dengan kes meningkat pada bayi di bawah tiga bulan, membawa kepada kadar kematian 5.6 peratus hingga 14.7 peratus di rantau ini6.

Bayi adalah kumpulan umur yang mempunyai risiko tinggi untuk terdedah dan berjangkit serta  kemasukan ke hospital yang lebih tinggi7.

Di negara kita, kes pertussis telah meningkat sejak 20 tahun lalu, dengan kadar penolakan vaksin meningkat daripada 600 pada 2013 kepada 1,600 pada 2016. Pihak berkuasa mengesyaki insiden sebenar yang lebih tinggi disebabkan oleh kes yang tidak dapat dikesan atau tidak dilaporkan8.

Bagi ibu hamil dapatkan suntikan anda dan pastikan bahawa penyakit yang boleh membawa maut ini tidak akan sampai kepada anak-anak anda.

Maklumat lanjut layari pautan ini.

Rujukan

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia https://www.facebook.com/photo/?fbid=690624796432860&set=pcb.690624819766191
  2. Frontiers. The Protective Role of Immunisation in Early Life. https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fped.2021.638871/full. Accessed 21 July 2023
  3.  https://immunise4life.my/the-malaysian-national-immunisation-programme-nip/
  4.  Giles ML, Krishnaswamy S, Wallace EM. Maternal immunisation: What have been the gains? Where are the gaps? What does the future hold?. F1000Res. 2018;7:F1000 Faculty Rev-1733. Published 2018 Nov 1. doi:10.12688/f1000research.15475.1.
  5. Juliana Mansor, Halim Ismail, Noriah Ismail. Determinants of Pertussis among Young Children in Selangor, Malaysia. Sains Malaysiana 50(2)(2021): 437-447. http://dx.doi.org/10.17576/jsm-2021-5002-15. https://www.ukm.my/jsm/pdf_files/SM-PDF-50-2-2021/15.pdf. Accessed 18 July 2023.
  6. Kamath GD, Kukreja S, Mukherjee P. Maternal Immunisation: trends in South and Southeast Asian countries. Published online: 13 Sep 2021. https://www.tandfonline.com/doi/full/10.1080/14767058.2021.1974389 
  7.  Lobzin, Y.V., Babachenko, I.V., Shamsheva, O.V. et al. Retrospective Study of the Clinical Epidemiological Characteristics of Pertussis in Infants Prior to Their First Vaccination in the Russian Federation. Infect Dis Ther 4, 113–123 (2015). https://doi.org/10.1007/s40121-015-0059-9. Accessed 4 August 2023.
  8.  Juliana Mansor, Halim Ismail, Noriah Ismail. Determinants of Pertussis among Young Children in Selangor, Malaysia. Sains Malaysiana 50(2)(2021): 437-447. http://dx.doi.org/10.17576/jsm-2021-5002-15. https://www.ukm.my/jsm/pdf_files/SM-PDF-50-2-2021/15.pdf. Accessed 18 July 2023.

 

Loading...
Terkini